Pemerintah sedang mengadakan perbincangan dengan platform media sosial untuk menetapkan ‘had masa harian’ sebagai sebahagian daripada perlindungan bagi membantu pengguna remaja memutuskan kitaran penggunaan berterusan dan berlebihan, yang boleh menimbulkan ketagihan.

Demikian kata Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo.

Langkah itu merupakan antara peraturan yang termasuk langkah lebih tegas dengan mematikan fungsi automain atau ‘autoplay’ video secara automatik dalam media sosial.

Oleh sebab ciri seperti penatalan tanpa henti tidak mempunyai “titik henti yang semula jadi”, Cik Teo berkata ia sering membuatkan pengguna “terus melekat (di media sosial)”.

“Menyentuh tentang penatalan tanpa henti, salah satu cara untuk menanganinya adalah dengan cuba melihat sama ada kita boleh memperkenalkan titik henti dengan semula jadi.

“Had masa harian untuk penggunaan sesebuah platform boleh menjadi salah satu cara untuk menanganinya,” kata beliau.

Cik Teo berkata demikian dalam satu wawancara media pada 28 Ogos, di mana beliau berkongsi rancangan pemerintah untuk mempertingkat keselamatan dalam talian bagi kanak-kanak dan remaja.

Meski tiada “angka ajaib” atau formula khusus yang menentukan had masa harian yang terbaik bagi setiap individu, Cik Teo menarik perhatian beberapa data daripada Panel Pakar Kementerian Kesihatan (MOH) yang memberikan panduan mengapa campur tangan itu amat diperlukan.

Antaranya, panel itu mendapati seorang dalam tiga belia Singapura berusia 15 hingga 17 tahun melayari media sosial lebih dari tiga jam sehari.

Selain itu, seorang daripada enam pengguna berusia 10 hingga 24 tahun menunjukkan tanda-tanda penggunaan media sosial bermasalah, termasuk gejala ketagihan dan kesukaran menghentikan penggunaannya secara sukarela.

Berdasarkan data tersebut, Cik Teo berkata ini “menunjukkan bahawa tempoh tiga jam adalah agak terlalu lama dan (had masa harian) sepatutnya kurang daripada itu”.

Sementara itu, syarikat Meta baru-baru ini mengumumkan sekatan baharu pada platformnya – termasuk Instagram dan Facebook.

Ia termasuk adanya had masa dua jam sehari dan menyekat semua penggunaan dari tengah malam hingga 6 pagi.

Langkah itu sebahagian daripada kes penyelesaian undang-undang bernilai AS$18 bilion ($22.9 bilion) dengan negeri-negeri Amerika Syarikat berhubung kesan media sosial terhadap kanak-kanak.

Meskipun angka akhir yang bakal diputuskan kelak mungkin tidak dipersetujui oleh semua pihak, Cik Teo menegaskan matlamat utama langkah had masa harian itu adalah untuk bertindak sebagai “peringatan” kepada remaja bahawa terdapat aspek penting lain dalam kehidupan mereka yang perlu diberi perhatian.

Berhubung ‘autoplay’ pula, Cik Teo berkata Singapura mahu fungsi tersebut dimatikan secara automatik dalam platform media sosial untuk pengguna remaja.

Beliau merujuk kepada konsep ‘roda latihan’, di mana fungsi ‘autoplay’ akan dimatikan secara automatik.

Namun, ibu bapa boleh berbincang dengan anak mereka dan mengubah tetapan tersebut sekiranya mereka berasa anak remaja mereka yang berusia 16 atau 17 tahun sudah cukup matang untuk mengendalikannya.

Menurut Cik Teo, pemerintah telah mengadakan beberapa sesi perbincangan kumpulan fokus bersama remaja berhubung penggunaan media sosial.

Mereka mendapati golongan itu sebenarnya menyokong langkah keselamatan sedemikian.

Bahkan, mereka telah meluahkan kebimbangan tentang kebergantungan yang keterlaluan pada media sosial dan mengakui wujudnya isu penggunaan yang berlebihan dan bermasalah.

Antara usaha yang dijalankan termasuk sesi perbincangan yang diadakan pada Jun dan Julai lalu bagi meningkatkan kesedaran awam serta mendapatkan pandangan mengenai rancangan pemerintah untuk memupuk persekitaran digital yang lebih selamat di media sosial.

“Mereka (remaja) memberitahu kami bahawa media sosial adalah tempat untuk mereka berinteraksi dengan rakan-rakan.

“Mereka tidak membantah pelaksanaan langkah perlindungan ini, tetapi meminta mereka berhenti menggunakan media sosial sepenuhnya adalah jauh lebih sukar.

“Berdasarkan semua sesi interaksi kami bersama golongan remaja, mesej yang kami terima ialah sekiranya langkah perlindungan itu munasabah, mereka bersedia untuk menerimanya kerana mereka tahu kami menghormati keinginan mereka untuk berhubung dengan rakan-rakan menerusi media sosial, dan bukannya meminta mereka berhenti menggunakannya sama sekali,” kata Cik Teo.

“Berdasarkan semua sesi interaksi kami bersama golongan remaja, mesej yang kami terima ialah sekiranya langkah perlindungan itu munasabah, mereka bersedia untuk menerimanya kerana mereka tahu kami menghormati keinginan mereka untuk berhubung dengan rakan-rakan menerusi media sosial, dan bukannya meminta mereka berhenti menggunakannya sama sekali.”
Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo.