Singapura dan Qatar telah bersetuju untuk berusaha ke arah meningkatkan hubungan dua hala kedua-dua negara ke peringkat Perkongsian Strategik, sekali gus menjadikan Qatar rakan strategik kedua Singapura di rantau Timur Tengah.

Persetujuan ini dicapai semasa Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dan Amir Qatar, Sheikh Tamim Bin Hamad Al Thani, mempengerusikan bersama Mesyuarat Kesembilan Jawatankuasa Bersama Peringkat Tinggi Qatar-Singapura (HLJC) di Doha pada 19 Oktober.

Ini merupakan kali pertama mesyuarat HLJC dipengerusikan bersama oleh pemimpin tertinggi kedua-dua negara sepanjang 20 tahun sejarah penubuhan platform berkenaan.

Mengulas lebih lanjut tentang mesyuarat itu menerusi catatan media sosialnya pada 19 Oktober, Encik Wong berkata HLJC merupakan platform utama bagi memajukan kerjasama antara kedua-dua negara.

Beliau menambah bahwa keputusan kedua-dua pemimpin negara untuk mempengerusikan bersama mesyuarat itu mencerminkan kepentingan yang diberikan kepada hubungan kedua-dua negara, dan keazaman bersama untuk melanjutkannya.

“Kita telah bersetuju untuk berusaha ke arah meningkatkan hubungan kita kepada Perkongsian Strategik,” kata Encik Wong, yang juga Menteri Kewangan.

“Langkah ini akan membuka peluang baharu bagi kerjasama dalam bidang seperti perdagangan dan pelaburan, keselamatan tenaga, kecerdasan buatan (AI), serta pendigitalan.”

Menurut kenyataan bersama oleh Kementerian Ehwal Luar (MFA) Singapura dan Qatar yang dikeluarkan pada 19 Oktober, kedua-dua pemimpin itu menanti-nantikan lawatan negara oleh Sheikh Tamim ke Singapura, yang dilihat sebagai peluang penting untuk melancarkan Perkongsian Strategik Qatar-Singapura.

Encik Wong dan Sheikh Tamim juga bersetuju untuk mengadakan mesyuarat HLJC ke-10 di Singapura pada masa yang sesuai bagi kedua-dua pihak, yang akan ditentukan melalui saluran diplomatik.

Semasa pertemuan itu, kedua-dua pemimpin tersebut turut mengalu-alukan pertumbuhan berterusan kerjasama dua hala dalam pelbagai sektor penting merangkumi perdagangan dan pelaburan, tenaga, serta pertahanan, menurut kenyataan MFA).

Encik Wong dan Sheikh Tamim turut mengesahkan keakraban hubungan mesra yang sekian lama terjalin antara Qatar dengan Singapura.

Mereka turut menggalakkan jalinan kerjasama antara agensi pemerintah, institusi penyelidikan, akademia dan sektor swasta bagi meneroka huraian digital, memperkukuh keselamatan siber serta membangunkan bakat AI secara bertanggungjawab.

Semasa di Amiri Diwan, mereka turut menyaksikan pertukaran dokumen pembaharuan Memorandum Persefahaman (MOU) antara QatarEnergy dengan Kementerian Tenaga, Perdagangan dan Perusahaan (METI).

MOU tersebut melibatkan kerjasama dalam gas asli cecair (LNG) dan teknologi karbon rendah, yang bakal mengukuhkan keselamatan tenaga antara Singapura dengan Qatar, kata MFA.

Menyentuh tentang aspek pertahanan pula, kedua-dua pemimpin itu juga mengalu-alukan pengukuhan kerjasama keselamatan, termasuk perjanjian perkhidmatan pertahanan bernilai QR 1.5 bilion ($470 juta) yang dimeterai pada Februari antara Barzan Holdings dengan ST Engineering.

Semasa pertemuan itu, Encik Wong dan Sheik Tamim turut menyuarakan kebimbangan mendalam terhadap perkembangan situasi di Timur Tengah dan mengesahkan komitmen bersama terhadap penyelesaian konflik melalui saluran diplomasi dan dialog.

Mereka juga menekankan kepentingan menegakkan kebebasan pelayaran antarabangsa mengikut Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut 1982 (Unclos), khususnya, bagi memastikan laluan perkapalan di Selat Hormuz sentiasa selamat dan terjamin.

“Singapura dan Qatar merupakan negara-negara kecil yang mengharungi dunia yang semakin penuh dengan cabaran,” kata Encik Wong.

“Kami berkongsi kepentingan yang mendalam untuk memastikan ekonomi kami kekal terbuka, memperkukuh daya tahan kami, serta membina masa depan yang lebih selamat dan makmur untuk rakyat kami.”

Encik Wong sedang melakukan lawatan kerja selama lima hari ke Timur Tengah, yang merangkumi lawatan ke Doha dari 18 hingga 20 Oktober, sebelum mengunjungi Abu Dhabi dan Dubai di Amiriah Arab Bersatu (UAE) dari 20 hingga 22 Oktober.

Ini merupakan lawatan pertama beliau ke Timur Tengah selaku Perdana Menteri.

Lawatan Encik Wong ini diadakan atas undangan Sheikh Tamim dan Presiden UAE, Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan.

Beliau diiringi oleh isterinya, Cik Loo Tze Lui; Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan; serta Menteri Tenaga, Perdagangan dan Perusahaan (Tenaga dan Perusahaan), Dr Tan See Leng; dan Menteri Negara (Kementerian Ehwal Luar merangkap Kementerian Dalam Negeri), Encik Zhulkarnain Abdul Rahim.

Turut serta dalam lawatan itu adalah para pegawai daripada MFA, Kementerian Tenaga, Perdagangan dan Perusahaan (METI), dan Pejabat Perdana Menteri (PMO).

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti