Mulai 2029, Singapura akan mempunyai dua lagi loji jana kuasa gas asli yang juga sesuai dengan hidrogen, bagi memenuhi keperluan tenaga elektrik negara yang kian meningkat dan memastikan keselamatan tenaga di sini.
Pada 4 Jun, Penguasa Pasaran Tenaga (EMA) mempelawa sektor swasta untuk membina, memiliki dan mengendali dua loji jana kuasa baru yang dijadual beroperasi pada 2029 dan 2030.
Setiap loji tersebut dijangka mempunyai kapasiti minimum 600 megawatt (MW), yang dapat membekalkan tenaga elektrik bagi sekitar 864,000 flat empat bilik HDB selama setahun.
Ini bermakna menjelang 2030, terdapat sekurang-kurangnya sembilan loji jana kuasa yang sesuai dengan hidrogen di Singapura.
Pelawaan daripada EMA untuk syarikat swasta mengemukakan cadangan, dibuat beberapa bulan selepas pengumuman bahawa syarikat YTL PowerSeraya akan membina sebuah loji jana kuasa bernilai $800 juta menjelang 2027.
Loji yang akan dibina di Pulau Jurong itu akan bermula dengan kapasiti menggunakan sehingga 30 peratus hidrogen.
Syarikat Keppel juga sedang membina sebuah loji serupa iaitu Loji Sakra Cogen Keppel di Pulau Jurong, yang dijangka siap pada separuh pertama 2026.
Lima loji lain kini dalam tahap pembinaan oleh syarikat Sembcorp, Meranti Power dan PacificLight Power.
Empat loji milik Meranti dan PacificLight yang dijangka siap pada 2025 adalah loji “permulaan pantas” yang dapat menambah tenaga elektrik sekiranya berlaku insiden kekurangan bekalan elektrik secara tiba-tiba.
Secara keseluruhan, sembilan projek tersebut dijangka menjana kuasa lebih 3.7 gigawatt (GW).
“Permintaan tenaga elektrik Singapura meningkat secara berterusan sejak beberapa tahun lalu, pada umumnya didorong oleh sektor intensif elektrik seperti sektor perkilangan termaju, ekonomi digital dan pengangkutan,” menurut EMA dalam satu kenyataan pada 4 Jun.
Pihak berkuasa meramal bahawa permintaan elektrik tertinggi Singapura dijangka naik sekitar 3.7 peratus dalam masa enam tahun akan datang, mencecah antara 10.1GW dengan 11.8GW menjelang 2030.
Syarikat yang berminat boleh mengemukakan cadangan kepada EMA selewat-lewatnya pada 31 Oktober.
Mulai 2024, semua loji jana kuasa gas asli baru dan dinaik taraf perlu menjadi 10 peratus lebih cekap karbon dan mencapai minimum 30 peratus sesuai dengan hidrogen, berdasarkan jumlah.
Pelepasan mesti berada dalam had 0.355 tan karbon dioksida bagi setiap megawatt-jam tenaga elektrik yang dihasilkan iaitu 10 peratus lebih cekap karbon daripada loji sedia ada.
Loji juga mesti boleh dinaik taraf untuk menjadi “100 peratus sedia hidrogen” pada masa depan, apabila bahan api hijau diperdagangkan.
Hidrogen tidak menghasilkan karbon dioksida yang memanaskan bumi apabila dibakar.
Gas asli, bentuk bahan api fosil paling bersih, kini membekalkan sekitar 95 peratus daripada keperluan tenaga elektrik Singapura, dan dilihat sebagai bahan api peralihan, sedang Singapura berusaha menyahkarbon sektor tenaganya.
Singapura dijangka terus bergantung kepada gas asli untuk memenuhi lebih separuh daripada keperluan penjanaan kuasanya menjelang 2035.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg