SINGAPURA dan bandar Shenzhen di China telah memeterai empat Memorandum Persefahaman (MOU) semalam untuk meningkatkan kerjasama dalam perdagangan digital dan membolehkan transformasi digital.
Kerjasama dalam bidang seperti e-invois, Internet of Things (IoT) dan blockchain akan mempromosikan kesalinghubungan digital rentas sempadan yang lebih cekap dan dipercayai.
Demikian menurut Kementerian Perhubungan dan Penerangan (MCI) serta Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) dalam satu kenyataan bersama semalam.
Empat MOU itu telah ditandatangani di mesyuarat kedua Jawatankuasa Pelaksanaan Bersama (JIC) Inisiatif Bandar Bijak (SCI).
Mesyuarat itu diterajui oleh Setiausaha Tetap MCI, Cik Yong Ying-I, dan Mayor Shenzhen, Encik Qin Weizhong.
Cik Yong berkata SCI Singapura-China (Shenzhen) yang ditubuhkan pada 2019 semakin berkembang.
"Kededua bandar akan bekerjasama lebih rapat bagi projek kerjasama digital baru dan sekitaran ujian dasar (policy sandbox) untuk mewujudkan peluang ekonomi baru bagi rakyat dan perniagaan kita.
"Hari ini (semalam), penandatanganan empat lagi MOU akan mengesahkan komitmen kami untuk terus membina jambatan digital antara Singapura dan Shenzhen," kata Cik Yong.
SCI merujuk kepada kerjasama lebih luas digital dan bandar bijak di kawasan Greater Bay Area di China (merangkumi sembilan bandar termasuk Hong Kong, Macau, Guangzhou, Shenzhen, Zhuhai, Foshan, Zhongshan, Dongguan, Huizhou, Jiangmen dan Zhaoqing) serta Asia Tenggara.
Dalam fasa SCI yang seterusnya, perniagaan sedang memanfaatkan teknologi digital untuk memberi manfaat lebih baik kepada ekonomi, kata MCI dan IMDA.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg