Topik diikuti
Pergi ke BHkuS'pura sokong langkah Menlu Asean undang wakil bukan politik Myanmar ke sidang puncak
S'pura sokong langkah Menlu Asean undang wakil bukan politik Myanmar ke sidang puncak
SINGAPURA menyokong keputusan yang dicapai dalam Mesyuarat Tergempar Menteri-menteri Luar Asean (EAMM) kelmarin untuk mengundang wakil bukan politik dari Myanmar bagi menghadiri Sidang Puncak Asean ke-38 dan 39 serta persidangan berkaitan, pada 26 hingga 28 Oktober ini.
Menurut kenyataan jurucakap Kementerian Luar Singapura (MFA) semalam, ini adalah keputusan yang sukar tetapi perlu demi menegakkan kewibawaan Asean memandangkan kemajuan yang tidak memuaskan dan terhad dalam pelaksanaan 'Konsensus Lima Perkara' Pemimpin Asean.
Singapura juga memuji usaha Menteri Ehwal Luar II Brunei, Dato Erywan Yusof selaku Perwakilan Khas Pengerusi Asean mengenai Myanmar dan menekankan lagi sokongannya terhadap misi Perwakilan Khas dan Brunei sebagai Pengerusi Asean.
"Singapura menggesa pihak berkuasa tentera Myanmar supaya bekerjasama dengan Wakil Khas untuk melaksanakan sepenuhnya dan secepat mungkin 'Konsensus Lima Perkara'," tambah jurucakap MFA.
Para menteri luar negara anggota Asean telah mengumumkan keputusannya untuk mengecualikan ketua junta Myanmar, Jeneral Kanan Min Aung Hlaing daripada menyertai Sidang Puncak Asean pada hujung bulan ini.
Perkumpulan itu mengumumkan keputusan demikian ketika kebimbangan semakin memuncak berhubung komitmen pemerintah junta tentera berkenaan dalam menangani krisis berdarah di Myanmar, menurut laporan agensi berita.
Brunei sebagai Pengerusi Asean memaklumkan, menteri luar daripada negara-negara anggota telah mencapai persetujuan pada mesyuarat tergempar kelmarin, bahawa pemimpin junta itu tidak akan dijemput ke sidang yang dijadualkan berlangsung pada hujung bulan ini.
Asean mengambil pendirian tegas selepas junta menolak permintaan untuk perwakilan khas mengadakan perjumpaan dengan semua pihak berkaitan - termasuk pemimpin Myanmar yang digulingkan, Cik Ang San Suu Kyi.