Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S'pura terus alu-alukan pelaburan, bakat asing

Ye Kung: Ekonomi negara bergantung pada sikapnya yang terbuka
Aug 21, 2021 | 5:30 AM
Encik Ong Ye Kung, Menteri Kesihatan.
Encik Ong Ye Kung, Menteri Kesihatan. -

SINGAPURA terus mengalu-alukan pelaburan dan bakat asing kerana ekonomi negara ini bergantung pada sifatnya yang terbuka, kata Menteri Kesihatan Ong Ye Kung semalam.

Berkata demikian semasa berucap dalam dialog bersama anggota Dewan Perniagaan dan Perusahaan Eropah (EuroCham) Singapura semalam, Encik Ong berkata komitmen itu dipersoal oleh sesetengah pihak baru-baru ini dek perbahasan domestik tentang tenaga kerja asing serta cabaran pandemik Covid-19.

"Covid-19 telah menggariskan satu realiti asas tentang Singapura, bahawa kita terlalu kecil untuk menakat sendiri dan kita harus memanfaatkan pasaran global," ujar beliau sambil menambah, Singapura mengalu-alukan kepakaran asing untuk melengkapi bakat setempat.

Encik Ong menarik perhatian beberapa percubaan menggunakan perjanjian perdagangan bebas, khususnya Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif (Ceca) India-Singapura, untuk menimbulkan sentimen antiwarga asing dan sifat xenofobia dalam masyarakat sebelum ini.

Malah, beliau dan Menteri Tenaga Manusia Dr Tan See Leng juga telah menyampaikan kenyataan menteri berhubung hal itu di Parlimen baru-baru ini.

"Pemerintah Parti Tindakan Rakyat (PAP) bersedia menghadapi isu ini kerana sifat terbuka merupakan nilai asas bagi kami.

"Kami yakin kebanyakan warga Singapura memahami mengapa kita perlu kekal terbuka, termasuk perlu terus mengalu-alukan pakar asing melengkapi bakat setempat," ujarnya.

Encik Ong berkata, pemerintah juga harus dan akan menangani keprihatinan sebenar sesetengah warga, termasuk berhubung persaingan lebih tinggi bagi pekerjaan daripada tenaga kerja asing, jumlah warga asing yang terlalu ramai dalam sektor, syarikat dan tempat tertentu, serta amalan pengambilan pekerja yang tidak adil dan bersifat diskriminasi oleh sejumlah kecil majikan.

Namun, cabaran lebih besar yang dihadapi Singapura adalah ancaman ekonomi akibat Covid-19, dengan keterbukaan sempadan negara ini merupakan faktor terbesar yang akan menjejas tarikan dan daya saing jangka panjang Singapura.

"Oleh itu, apabila Covid-19 menjejas kegiatan rentas sempadan, kami terus komited kekal terbuka dan mencuba pelbagai cara untuk mengatasi gangguan itu," ujar Encik Ong.

Ini termasuk memastikan rantaian bekalan kekal terbuka dengan operasi kargo udara dan pelabuhan Singapura tidak terganggu, tidak mengenakan kawalan eksport walaupun Singapura kekurangan sesetengah barangan, seperti pelitup N95 serta bekerjasama dengan industri dan membangun proses untuk membolehkan pertukaran kru di Singapura.

Singapura juga bekerjasama dengan hotel setempat untuk membantu pekerja Malaysia mencari penginapan di sini supaya mereka dapat terus bekerja dan operasi di sini tidak terjejas apabila Malaysia mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lalu.

Encik Ong yang juga pengerusi bersama pasukan bertindak berbilang kementerian (MTF) bagi menangani Covid-19 menyampaikan ucapan semalam, sehari selepas pemerintah mengumumkan rancangan bagi pembukaan semula sempadan, termasuk perjalanan bebas kuarantin ke Jerman dan Brunei bagi individu yang sudah divaksinasi mulai bulan depan.

Menerangkan mengapa pemerintah mengambil langkah yang dilaksana, termasuk langkah sukar, Encik Ong berkata, mereka yakin pendekatan ini tepat dan berhati-hati.

Kini, negara ini berada dalam kedudukan yang berbeza, dengan sejumlah besar penduduknya yang tampil untuk mendapatkan vaksinasi.

Ini kerana terdapat keyakinan kukuh antara rakyat dengan pemerintah, hasil tindakan konsisten pemerintah yang berpandukan kesedaran akan kekangannya, perspektif jangka panjang dan misi kukuh untuk memastikan Sngapura kekal stabil dan selamat, ujar Encik Ong.

"Covid-19 telah menggariskan satu realiti asas tentang Singapura, bahawa kita terlalu kecil untuk menakat sendiri dan kita harus memanfaatkan pasaran global... Pemerintah Parti Tindakan Rakyat (PAP) bersedia menghadapi isu ini kerana sifat terbuka merupakan nilai asas bagi kami. Kami yakin kebanyakan warga Singapura memahami mengapa kita perlu kekal terbuka, termasuk perlu terus mengalu-alukan pakar asing melengkapi bakat setempat." - Encik Ong Ye Kung, Menteri Kesihatan, ketika menjelaskan komitmen pemerintah yang dipersoal oleh sesetengah pihak baru-baru ini dek perbahasan domestik tentang tenaga kerja asing serta cabaran pandemik Covid-19.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg