Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura tetap kriteria kelayakan kredit karbon untuk imbangi cukai karbon

Oct 4, 2023 | 2:03 PM
IMBANGI CUKAI KARBON: Kriteria yang dipilih adalah bagi memastikan kredit karbon mempunyai “integriti alam sekitar yang tinggi”.
IMBANGI CUKAI KARBON: Kriteria yang dipilih adalah bagi memastikan kredit karbon mempunyai “integriti alam sekitar yang tinggi”. - Foto BT

Satu set kriteria kelayakan dikeluarkan untuk memastikan kredit karbon yang digunakan syarikat untuk mengimbangi sebahagian pelepasan bercukai adalah bermutu tinggi.

Bermula 2024, cukai karbon akan dinaikkan daripada $5 setiap tan kini kepada $25 setiap tan, kemudian kepada $45 setiap tan dari 2026 hingga 2027, dengan tujuan mencapai $50 setiap tan kepada $80 setiap tan pada 2030.

Namun syarikat boleh menggunakan kredit karbon antarabangsa untuk mengimbangi sehingga 5 peratus daripada pelepasan cukai mereka.

Cukai karbon Singapura dikenakan kepada semua kemudahan yang menghasilkan 25,000 tan atau lebih pelepasan gas rumah hijau dalam setahun.

Bagi memastikan kredit karbon yang dipilih mempunyai “integriti alam sekitar yang tinggi”, pemerintah telah membina tujuh prinsip utama yang perlu dipatuhi setiap projek. 

Mengumumkan perkara itu dalam ucapan yang dirakam di Anugerah Perkongsian Penjimatan Tenaga Nasional di Marina Bay Sands pada Rabu, Menteri Kemampanan dan Persekitaran, Cik Grace Fu, berkata kriteria kelayakan diadakan dengan melibatkan lebih 70 pihak berkepentingan di seluruh industri dan pertubuhan bukan pemerintah.

Kriteria itu merujuk pada piawaian antarabangsa termasuk Skim Pengimbangan dan Pengurangan Karbon untuk Penerbangan Antarabangsa (Corsia) yang dianggap mempunyai piawaian paling ketat dalam industri.

“Kami sedang membangunkan pasaran dan peraturan secara selari, dengan matlamat menerbitkan satu senarai program kredit karbon yang layak, metodologi dan menjadi tuan rumah kepada negara lain akhir tahun ini,” kata Cik Fu.

Bagi melayakkan syarikat menggunakan kredit karbon untuk mengimbangi kewajipan cukai karbon mereka, kredit tersebut mesti dijana di bawah perjanjian pelaksanaan yang telah ditandatangani Singapura dengan projek negara tuan rumah.

Setakat ini, Singapura telah secara substantif memuktamadkan rundingan bersama Ghana dan Vietnam mengenai perjanjian pelaksanaan yang mematuhi Artikel 6 bagi Perjanjian Paris Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). 

Perjanjian serupa bersama melebihi sedozen negara termasuk Bhutan, Mongolia, Papua New Guinea dan Peru, sedang dalam usaha, kata Cik Fu. 

Untuk dianggap layak, pengurangan atau penyingkiran pelepasan yang diperakui daripada projek kredit karbon mesti berlaku antara 1 Januari 2021 dan 31 Disember 2030, ujar Kementerian Kemampanan dan Sekitaran (MSE) dan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) dalam satu kenyataan pada Rabu.

Contohnya, menawarkan isi rumah dengan pencerna biogas, yang menukar sisa organik kepada tenaga bersih untuk memanaskan dan memasak, akan membantu mengurangkan pergantungan mereka kepada kayu api dan pelepasan karbon yang terhasil daripada penebangan hutan.

Setiap tan karbon dioksida atau CO2 yang telah dihalang daripada dibebaskan ke atmosfera bersamaan dengan satu kredit karbon.

Begitu juga, usaha pemulihan hutan atau tanah gambut boleh membantu menyingkirkan CO2 daripada atmosfera dan setiap tan CO2 yang disingkirkan boleh diambil kira sebagai satu kredit karbon.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg