Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura tidak tolak ansur terhadap keganasan ke atas sesiapa pun

Apr 8, 2025 | 8:29 PM
Anggota Parlimen Dilantik (NMP), Profesor Madya Razwana Begum Abdul Rahim, menyarankan 10 perkara bagi menangani isu Keganasan Pasangan Intim (IPV).
Anggota Parlimen Dilantik (NMP), Profesor Madya Razwana Begum Abdul Rahim, menyarankan 10 perkara bagi menangani isu Keganasan Pasangan Intim (IPV). - Foto MDDI

Keganasan rumah tangga bukan isu peribadi dan pendekatan keseluruhan masyarakat diperlukan untuk menanganinya.

Malah, pemerintah bekerjasama rapat dengan masyarakat dan agensi perkhidmatan sosial (SSA) untuk melindungi mangsa keganasan rumah tangga serta memastikan pelaku dihukum dengan setimpal.

Demikian kata Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Ehwal Dalam Negeri), Cik Sun Xueling, dalam responsnya kepada Anggota Parlimen Dilantik (NMP), Profesor Madya Razwana Begum Abdul Rahim.

Dr Razwana telah memfailkan usul penangguhan berkaitan ‘Pemahaman dan Respons terhadap Keganasan Pasangan Intim (IPV) di Singapura’ di Parlimen pada 8 April.

“Singapura tidak bertolak ansur dengan keganasan terhadap sesiapa. Tiada sesiapa pun harus mengalami keganasan, terutama di tangan orang yang sepatutnya mereka cintai dan percayai.

“Tugas kita mencegah dan membasmi keganasan rumah tangga adalah tugas yang berterusan dan intensif, dan kita melibatkan bersama masyarakat serta rakan kongsi perkhidmatan sosial kita.

“Setiap hari, kita memikirkan cara melindungi mangsa dengan lebih baik dan mempertanggungjawabkan pesalah,” kata Cik Sun.

Beliau berkata Singapura mengamalkan rangka kerja komprehensif untuk menangani masalah keganasan rumah tangga di sini, dan negara ini mempunyai lima undang-undang utama untuk menangani isu tersebut.

Ia adalah Piagam Wanita; kanun keseksaan yang diubah pada 2019, yang menggandakan hukuman maksimum bagi kesalahan tertentu termasuk pesalah keganasan rumah tangga; Akta Perlindungan daripada Gangguan (Poha); Akta Orang Dewasa Terdedah, dan Kanun Tatacara Jenayah.

Namun, Cik Sun akur “cara terbaik menangani keganasan rumah tangga ialah dengan mencegahnya daripada berlaku”.

“Mencegah dan menangani keganasan adalah usaha keseluruhan masyarakat,” ujar beliau.

Dr Razwana dalam ucapannya berkata seperti banyak negara lain, agak sukar mendapatkan data keseluruhan masyarakat semasa tentang kelaziman dan sifat IPV di Singapura.

“Saya rasa sudah tiba masanya untuk menjalankan penyelidikan menyeluruh dan seluruh populasi mengenai kelaziman, pelaporan dan sifat IPV di seluruh Singapura.

“Dengan berbuat demikian, kita harus mempertimbangkan takrifan dan skop IPV, trend rentas umur, kumpulan etnik, agama dan jantina, serta trend baru yang muncul seperti keganasan dalam talian, kawalan secara paksaan dan keganasan apabila kanak-kanak adalah pelakunya.

“Yang penting, kita juga perlu mengadakan perbincangan sensitif umur dan budaya dengan wanita dan kanak-kanak perempuan, serta orang dewasa dan kanak-kanak lelaki, tentang peranan jantina dan punca serta penggunaan IPV,” ujar Dr Razwana.

Beliau sebak menceritakan tentang rakan karibnya yang merupakan mangsa IPV yang telah meninggal dunia tahun lalu.

Dr Razwana turut menegaskan mengenai kepentingan melindungi kanak-kanak dalam kes keganasan rumah tangga.

“Apabila kita gagal melindungi kanak-kanak daripada pendedahan kepada IPV, kita membahayakan bukan sahaja kanak-kanak itu, malah kita mengekalkan kitaran antara generasi yang menerima dan menggunakan keganasan dalam perhubungan mereka,” katanya.

Dr Razwana menyarankan 10 perkara untuk menangani isu IPV. Antaranya, mewujudkan penyediaan sokongan pendapatan gaji sara hidup segera kepada wanita yang hidup dalam situasi IPV; membenarkan polis mengeluarkan perintah perlindungan peribadi dengan segera untuk wanita dan kanak-kanak mangsa IPV; serta memaksa pelaku IPV supaya meninggalkan rumah dengan segera.

Selain itu, beliau mengesyorkan agar pihak berkuasa menyepadukan keadilan terapeutik dan pemulihan ke dalam proses mahkamah syariah, menyediakan akses kepada kaunselor dan kumpulan sokongan yang sejajar dengan agama, budaya dan jantina mangsa serta menyertakan pemeriksaan IPV ke dalam semua penilaian penjagaan kesihatan rutin, termasuk pemeriksaan gigi.

Cik Sun berkata pihaknya akan menyemak cadangan yang telah dikemukan Dr Razwana.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg