SINGAPURA telah mengusahakan pembangunan mampan sebagai satu keperluan sejak negara ini merdeka, kata Menteri Sekitaran dan Sumber Air, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.

Ini meskipun ia menghadapi kekangan sebagai sebuah negara kecil yang sedang membangun dan negara moden serta padat dengan penduduk.

Encik Masagos berkata demikian semasa menyampaikan kenyataan nasional di Forum Politik Peringkat Tinggi 2018 Mengenai Pembangunan Mampan di New York pada Selalu lalu (waktu tempatan).

Dalam kenyataannnya itu, Encik Masagos mengongsi tiga elemen penting dalam pendekatan pembangunan Singapura.

Menurutnya, Singapura sentiasa mengimbangi pembangunan ekonomi dengan perlindungan sekitaran dan penyertaan sosial.

"Bahkan, dalam tahun-tahun awal (pembangunan negara) apabila kami memerlukan pelaburan, sekitaran kami tidak dikompromi," ujar beliau.

Encik Masagos turut menyentuh tentang cukai karbon yang akan dilaksanakan tahun depan yang bertujuan membantu mengurangkan pengeluaran gas rumah hijau yang menyebabkan pemanasan bumi dan menggalak pihak yang mengeluarkan jumlah besar gas itu untuk melabur dalam teknologi jimat tenaga.

Beliau berkata ini akan "mempercepatkan inovasi dan kecekapan tenaga, mengalihkan ekonomi dan masyarakat kita ke arah satu masa depan yang mampan, rendah karbon".

Encik Masagos menambah bahawa negara ini juga mengusahakan pendekatan jangka panjang dan bersepadu bagi perancangan dan pelaksanaan dasar.

Sebagai salah satu negara di dunia yang menghadapi cabaran air, Singapura telah berusaha gigih dan membuat pelaburan besar demi memastikan kemampanan air.

Hari ini, Singapura mempunyai pelbagai bekalan air, termasuk air yang diimport, kawasan tadahan setempat, penyulingan air dan air buangan yang dikitar semula ataupun NEWater, jelas beliau.

Di samping itu, Encik Masagos berkata perumusan dan pelaksanaan dasar di Singapura disokong kerjasama pelbagai pihak berkepentingan, sambil menekankan pemerintah sendiri tidak boleh menangani perubahan dan kemampanan iklim.

Dalam usaha itu, Singapura telah memperuntukkan 2018 sebagai Tahun Tindakan Iklim, dengan hampir 250,000 individu, perniagaan dan pertubuhan telah berikrar menangani perubahan iklim.

Encik Masagos berkata Singapura komited bekerjasama dan membantu negara lain mencapai Agenda 2030 bagi Pembangunan Mampan - iaitu satu rangka kerja pembangunan sejagat jangka panjang.

Sebagai sebuah negara yang tiada pengalaman, Singapura telah meraih manfaat daripada nasihat teknikal agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan demi membantu negara lain, negara ini memulakan Program Kerjasama Singapura pada 1992 untuk mengongsi pengalaman pembangunannya.

Hampir 120,000 pegawai telah menyertai program itu, dedah Encik Masagos.

"Singapura akan terus bekerjasama dengan rakan kami untuk membantu meningkatkan kehidupan orang ramai di seluruh dunia dalam usaha mulia ini," tambah beliau.

"Singapura sentiasa mengutamakan rakyatnya dalam semua dasar pembangunannya. Transformasi ekonomi kita adalah kisah berkaitan meningkatkan kehidupan rakyat kita, dengan menyediakan pendidikan baik, kesihatan, perumahan, pekerjaan baik dan sekitaran yang bersih. Kami mengambil pendekatan pragmatik terhadap penggubalan dasar dan tadbir urus, memberi tumpuan kepada hasilnya, bukan ideologi, demi memupuk sebuah masyarakat yang harmoni, inklusif dan makmur." - Menteri Sekitaran dan Sumber Air, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad dalam kenyataan nasional di Forum Politik Peringkat Tinggi 2018 Mengenai Pembangunan Mampan di New York.