PRESIDEN Halimah Yacob telah menulis kepada rakan sejawatannya di Turkey, Encik Recep Tayyip Erdogan, mengucapkan takziah atas kehilangan nyawa dan kecederaan yang berlaku akibat gempa bumi yang melanda tenggara negara itu kelmarin.
Dalam catatannya di Facebook semalam, Puan Halimah berkata tempoh sekarang merupakan detik sukar bagi negara itu namun beliau yakin rakyat negara itu akan pulih dengan cepat dan menjadi lebih kuat.
"Ingatan dan doa kami bersama penduduk Turkey pada masa mencabar ini," ujarnya.
Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, juga telah menulis kepada rakan sejawatannya di Turkey dan Syria untuk mengucapkan takziah berkaitan gempa bumi yang melanda dua negara itu.
Dalam suratnya, beliau mengucapkan takziah yang mendalam kepada menteri luar dua negara itu dan kepada rakyat negara itu di atas kehilangan nyawa dan kecederaan ekoran gempa bumi tersebut.
Dalam kenyataannya lewat kelmarin, Kementerian Ehwal Luar (MFA) menyatakan pemerintah Singapura turut menyampaikan ucap takziah yang mendalam kepada Turkey dan Syria berkaitan bencana itu.
Kenyataan itu menambah, MFA telah menghubungi warga Singapura yang berdaftar dengannya di kawasan terjejas dengan gempa itu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg