SINGAPURA dan Vietnam akan mengusahakan kerjasama untuk membangunkan grid tenaga yang boleh diperbaharui di rantau Asean yang bakal memperkukuh kedudukannya di mata dunia serta perpaduan rantau tersebut.
Pada masa yang sama, kededua negara itu juga komited untuk menubuhkan kerjasama ekonomi hijau dan digital untuk jangka masa panjang, dalam melakar langkah seterusnya bagi kerjasama dua hala Singapura dan Vietnam.
Mendedahkan demikian semasa bertemu wartawan di akhir lawatan negara lima harinya ke Vietnam semalam, Presiden Halimah Yacob berkata Vietnam boleh memaksimalkan potensinya dalam usaha membangunkan grid tenaga tersebut.
"Vietnam mempunyai potensi yang tinggi kerana mereka mempunyai kawasan pantai yang berukuran lebih 3,000 kilometer dan ini merupakan sumber tenaga solar dan angin yang boleh dimanfaatkan, bukan sahaja untuk Vietnam dan Singapura, tetapi untuk manfaat serantau," katanya kepada pihak media dari Singapura di Hotel Park Hyatt Saigon.
Namun, pelaburan terhadap tenaga yang boleh diperbaharui serta pembangunan infrastruktur yang diperlukan memerlukan masa yang lama dan lebih banyak kajian dan penyelidikan perlu dijalankan untuk memastikan ia mampu dilaksanakan.
Beliau berkata demikian semasa ditanya sama ada terdapat tempoh tertentu yang telah ditetapkan bagi pelaksanaan grid tersebut.
Grid tenaga seperti itu dapat mempertingkat perdagangan elektrik rentas sempadan dan membolehkan negara di menyahkarbon dan memenuhi keperluan tenaga domestik.
Ia juga akan membantu Singapura dan Vietnam mencapai matlamat mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050 yang telah ditetapkan sebelum ini, kata Presiden Halimah.
"Ini kerana kita bakal mempunyai lebih banyak tenaga yang boleh diperbaharui, dan ini bukan sahaja bagi keperluan kita, tetapi jika ada kelebihan ia akan (diedarkan) kepada rantau Asean, dan ini membantu dalam usaha mengukuhkan perpaduan serta kedudukan Asean," ujarnya, sambil menambah dalam melaksanakan projek seperti ini negara yang terlibat perlu bersedia untuk mengambil tindakan lanjut dalam penguatkuasaannya.
Singapura telah mula mengimport tenaga yang boleh diperbaharui dari Laos menerusi Thailand dan Malaysia Jun lalu di bawah Projek Penyepaduan Kuasa Laos-Thailand-Malaysia-Singapura (LTMS-PIP).
Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan Penguasa Pasaran Tenaga (EMA), Kementerian Tenaga dan Lombong Laos, Electricite du Laos dan Keppel sebelum ini, projek LTMS-PIP itu boleh mengorak langkah merealisasikan visi Grid Kuasa Asean (APG) pada masa akan datang.
Sejajar dengan itu, Puan Halimah menekankan keterbukaan pemimpin Vietnam untuk bekerjasama dalam inisiatif negara bijak di bawah strategi transformasi digital dua hala, dan ini sesuai dengan strategi digital Asean yang lebih luas.
"Kita perlukan usulan yang kukuh untuk diusahakan, seperti inisiatif ekonomi ini, yang boleh mempertingkat mutu kehidupan warganya," ujarnya.
Semasa lawatan negara lima hari tersebut - yang meliputi kawasan Hanoi dan Bandar Ho Chi Minh - Puan Halimah telah bertemu beberapa pemimpin Vietnam bagi membincangkan hala tuju seterusnya dalam memperbaharui agenda hubungan dua hala kededua negara.
Puan Halimah dan Presiden Nguyen Xuan Phuc juga telah menyaksikan pemeteraian empat memorandum persefahaman (MOU) yang merangkumi bidang kerjasama baru termasuk ekonomi hijau dan keselamatan siber.
Kededua negara juga telah mengumumkan pembinaan satu lagi Taman Perindustrian Vietnam-Singapura (VSIP) - yang merupakan sebahagian utama kerjasama ekonomi Singapura-Vietnam - di Bandar Can Tho.
Puan Halimah bertolak pulang ke Singapura petang semalam.
Ditanya sama ada beliau sempat menikmati hidangan tempatan di Vietnam, Presiden Halimah berkata beliau telah mencuba hidangan mi sup yang dipanggil 'pho', dan mendapatinya agak serupa dengan hidangan assam laksa.
"Tapi mereka di sini memang makan lebih banyak sayur-sayuran, kita (di Singapura) juga mungkin perlu banyak makan sayur juga," katanya, berseloroh.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg