Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SSA derma $50,000, bantu keluarga memerlukan terjejas dek Covid-19

Apr 28, 2020 | 5:30 AM
BERI SOKONGAN: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SSA Group, Encik Suhaimi Salleh, berkata bahawa beliau sedar akan peri perlu terus menyokong golongan masyarakat yang lebih luas dalam krisis ini. - Foto fail
BERI SOKONGAN: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SSA Group, Encik Suhaimi Salleh, berkata bahawa beliau sedar akan peri perlu terus menyokong golongan masyarakat yang lebih luas dalam krisis ini. - Foto fail -

SYARIKAT penyedia latihan SSA Group akan menyumbang $50,000 bagi menyokong keluarga kurang bernasib baik yang terjejas oleh pandemik koronavirus Covid-19 dalam Ramadan.

Menurut satu kenyataan SSA, sumbangan tersebut akan disalurkan melalui badan-badan Melayu/Islam.

Ini termasuk Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM), Dana Amanah Tabung Amal Aidilfitri (TAA), Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), Persatuan Bertindak Ginjal Bagi Masyarakat Islam (MKAC), Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM), Pertapis, Pergas, Jamiyah dan Persekutuan Indian Muslim (FIM).

Dana tersebut akan meliputi bekalan peruntukan penting kepada keluarga yang memerlukan semasa bulan Ramadan. Ia juga akan digunakan untuk menokok tambah bayaran yang tidak dibiayai (selepas sokongan atau subsidi agensi pemerintah dan badan amal lain) untuk pembelian komputer riba/tablet serta bayaran hubungan WiFi dan dongle untuk menyokong pembelajaran dari rumah anak-anak.

LBKM akan mengendalikan bantuan bagi keperluan penting keluarga memerlukan dan membantu mereka yang masih memerlukan. Badan-badan lain pula akan mengendalikan bantuan tokokan kepada penerima.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SSA Group, Encik Suhaimi Salleh, berkata bahawa sedang pihaknya menyesuaikan syarikatnya kepada norma yang baru, beliau sedar akan peri perlu terus menyokong golongan masyarakat yang lebih luas dalam krisis ini.

"Ini termasuk keluarga kurang bernasib baik serta anak-anak mereka, yang mungkin masih berkeperluan walaupun telah diberikan sokongan kewangan serta subsidi yang berbagai daripada agensi pemerintah dan badan-badan kebajikan lain.

"Kami berharap sumbangan kecil kami ini akan memberi sedikit sebanyak kelegaan kepada keluarga-keluarga ini dan anak mereka pada masa sukar ini," kata Encik Suhaimi.

SSA Group, yang merangkumi SSA Academy Pte Ltd, SSA Culinary Institute, SSA Consulting Pte Ltd dan Barakah Capital Planners Pte Ltd, adalah sebuah kumpulan syarikat berusia 33 tahun yang memberikan khidmat latihan, perundingan dan huraian IT.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg