Topik diikuti
Pergi ke BHkuSSA Group teroka AI, latih kakitangan pelbagai peranan bagi pacu daya penghasilan
Sebagai persiapan menghadapi pekerja yang akan mengambil lebih banyak cuti penjagaan anak, syarikat rundingan dan latihan SSA Group, sedang mengaudit aliran kerjanya untuk mengenal pasti tugas harian yang boleh disokong atau dikendalikan oleh kecerdasan buatan (AI).
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SSA Group, Encik Suhaimi Salleh, 71 tahun, berkongsi bahawa penggunaan AI yang lebih tinggi dapat meningkatkan produktiviti dan memastikan kesinambungan operasi apabila pekerjanya bercuti.
Pada masa yang sama, beliau juga perlu menyusun semula tugas dan meningkatkan kemahiran tenaga kerjanya agar mereka dapat menyesuaikan diri dengan cara kerja baharu yang diperkenalkan oleh AI.
Sekitar 15 peratus daripada 64 pekerjanya mempunyai anak berusia di bawah 12 tahun dan akan meraih manfaat daripada peningkatan Cuti Penjagaan Anak (CCL), antara lapan dengan 12 hari bagi setiap ibu bapa, bergantung pada bilangan anak.
Dengan bayaran semula oleh pemerintah, Encik Suhaimi menambah, ia merupakan satu peluang untuk mempercepatkan penggunaan AI dan teknologi bagi mengurangkan tugas rutin, meningkatkan daya penghasilan, serta membina organisasi yang lebih cekap dan berdaya tahan dalam jangka panjang.
“Kami sedang lihat bagaimana kami dapat mengurangkan tugasan rutin pekerja seperti mengemas kini borang penyertaan, menyimpan data, mengirimkan mesej peringatan dan sebagainya.
“Jika kami dapat menggunakan teknologi untuk perkara rutin, waktu tambahan yang diperoleh daripada penjimatan masa dapat digunakan untuk perkara lain, seperti penjualan dan promosi bagi meningkatkan jumlah klien.
“Kami juga sedang melihat cara untuk melatih semula pekerja kami, sebagai contoh, melatih pegawai khidmat pelanggan untuk membuat panggilan pemasaran dan bukan sekadar melakukan kerja pendaftaran sahaja,” ujar Encik Suhaimi ketika ditemui Berita Harian (BH) di pejabat SSA Academy di Institut Pembelajaran Sepanjang Hayat.
Menurutnya, langkah pemerintah untuk menambah cuti penjagaan anak mencerminkan keinginan membina tempat kerja yang membolehkan pekerja mengimbangi kerjaya dan keluarga.
“Jika kita mahu golongan muda lebih yakin untuk membina keluarga, mereka perlu diberikan keyakinan bahawa mempunyai anak tidak bermakna mereka perlu mengorbankan kerjaya,” ujar Encik Suhaimi.
Beliau akur syarikat yang mempunyai tenaga kerja kecil perlu mengatasi cabaran yang datang apabila pekerja mengambil cuti, seperti memastikan pekerja lain terlatih untuk melakukan tugas tertentu.
Lantaran itu, beliau mengambil pendekatan dengan mendedahkan pekerja di SSA Group kepada alat AI generatif seperti ChatGPT dan Perplexity AI, satu wadah jawapan dengan maklumat masa nyata.
Beliau juga sedang meneroka pembinaan alat AI yang disesuaikan khas mengikut keperluan syarikatnya yang dibahagikan kepada pembangunan kemahiran pekerja, latihan kulinari, serta penyelesaian transformasi dan pengurusan tenaga kerja.
Encik Suhaimi turut menekankan bahawa AI dan teknologi, meskipun amat berguna, tidak dapat menggantikan tenaga kerja yang memerlukan sentuhan manusia, terutama sekali bagi perusahaan yang bergantung kepada perkhidmatan pelanggan bersemuka.
“
“Jika kita mahu golongan muda lebih yakin untuk membina keluarga, mereka perlu diberikan keyakinan bahawa mempunyai anak tidak bermakna mereka perlu mengorbankan kerjaya.”