
TEMPAT Letak Kereta Pintar dan sistem pengecasan Kenderaan Elektrik (EV) bersepadu pertama dilancarkan pada Isnin oleh ST Engineering dan Universiti Teknologi Nanyang Singapura (NTU) di kampus utama sekolah itu.
Enam stesen pengecasan EV telah dipasang dengan lapan lagi yang akan dilancarkan di lebih banyak tempat letak kereta menjelang Jun.
Tempat Letak Kereta Pintar generasi baru itu membolehkan pengguna EV meletak dan mengecas kereta mereka dengan mudah sambil membuat transaksi dalam satu aplikasi.
Dengan menyediakan kemudahan yang lancar untuk pengguna EV, ia akan membantu menghapuskan keperluan untuk tempat letak kereta dan pengecasan EV yang berasingan.
Selain itu, Tempat Letak Kereta Pintar juga boleh mengesan dan mengenal pasti EV yang telah menyelesaikan sesi pengecasan mereka tetapi terus berada di lot tersebut, serta kereta bukan EV yang diletakkan di lot pengecasan EV.
Ciri ini tidak seperti sistem pengecasan EV sedia ada yang tidak dapat mengesan masalah sebegini.
Tempat Letak Kereta Pintar, GoParkin menggunakan sistem awan yang dapat menjimatkan kos operasi dan penyelenggaraan.
Selain boleh kendalikan dengan menggunakan pelbagai perkakas pengecasan EV, Tempat Letak Kereta Pintar memanfaatkan teknologi ANPR yang menjimatkan kos, mudah digunakan dan penyelenggaraan yang rendah berbanding sistem tempat letak kereta elektronik konvensional.
"Dengan kepakaran kami dalam menyediakan tempat letak kereta pintar dan sistem pengecasan EV, kami berada pada kedudukan yang baik untuk menyediakan penyelesaian bersepadu, yang dipercayai dan kos efektif.
"Selain itu, kerjasama kami akan membawa manfaat bagi pengguna baru dan menyumbang kepada visi Kampus Pintar NTU dan matlamat kemampanan," kata Ketua Mobility Road, Urban Solutions, ST Engineering, Encik Ang Kim Siah.
Universiti itu komited terhadap penyahkarbonan dan pembangunan mampan di mana ia berusaha untuk mencapai neutraliti karbon, dengan pengurangan 50 peratus dalam pelepasan karbon menjelang 2035.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg