Topik diikuti
Pergi ke BHkuStatus vaksinasi akan diperiksa bila jamu di pusat penjaja, kedai kopi mulai hari ini
Kelonggaran bagi mereka yang dapat khidmat perubatan, hantar anak ke pusat jagaan di pusat beli-belah
Status vaksinasi akan diperiksa bila jamu di pusat penjaja, kedai kopi mulai hari ini
MULAI hari ini, langkah pengurusan selamat berdasarkan status vaksinasi (VDS) yang diperluas akan berkuat kuasa bagi pusat penjaja dan kedai kopi yang membenarkan hanya mereka yang sudah divaksinasi sepenuhnya untuk menjamu selera tetapi dihadkan seramai dua orang.
Ini bermakna mereka yang tidak divaksin tidak dibenarkan makan di luar namun hanya boleh membeli makanan untuk dibawa balik.
Sebelum ini, pemerintah juga mengumumkan akan memberi tempoh kelonggaran selama seminggu dari 13 hingga 19 Oktober bagi pengendali serta orang ramai ke pusat beli-belah sebagai tempoh menyesuaikan diri dengan langkah pengurusan selamat yang diperluas itu.
Pemerintah akan memberi kelonggaran kepada mereka yang belum divaksin yang perlu pergi ke pusat beli-belah untuk mendapatkan khidmat perubatan atau menghantar anak ke pusat jagaan kanak-kanak.
Menerangkan langkah itu, Menteri Kewangan Lawrence Wong berkata kanak-kanak bawah 12 tahun tidak termasuk di bawah langkah pengurusan selamat berdasarkan status vaksinasi itu.
Pengerusi bersama pasukan bertindak berbilang kementerian (MTF) bagi menangani Covid-19 - Encik Wong dan Menteri Kesihatan Ong Ye Kung - menerangkan langkah itu serta beberapa langkah lain menerusi video yang dimuat naik ke Facebook semalam.
Menteri Kemampanan dan Sekitaran Grace Fu berkata langkah VDS yang diperluas itu dilaksana di pusat penjaja dan kedai kopi kerana ramai warga emas masih pergi ke pusat penjaja dan kedai kopi bagi tujuan sosial, sedang tempat itu mempunyai risiko lebih tinggi antara lain kerana terdapat kegiatan yang melibatkan orang ramai membuka pelitup dan berbual.
"Mereka yang tidak divaksinasi masih boleh pergi ke pusat penjaja, pasar basah dan kedai kopi untuk membeli makanan untuk dibawa pulang namun bukan untuk menjamu selera di sana.
"Saya ingin menggesa semua orang, khususnya warga emas yang tidak divaksinasi, supaya mengelak daripada pergi ke tempat yang mempunyai ramai orang demi melindungi diri mereka dan keluarga mereka," ujarnya.
Cik Fu berkata VDS yang diperluas itu akan dilaksana dengan pendekatan yang pragmatik.
Oleh itu, pengendali di pusat penjaja dan kedai kopi perlu mengingatkan pengunjung yang belum divaksinasi bahawa mereka tidak harus menjamu selera di sana.
Selain itu, poster dan sistem pengumuman awam juga akan digunakan untuk sentiasa mengingatkan pengunjung bahawa mereka tidak boleh menjamu selera di sana kalau belum divaksinasi.
Tambahnya, pengendali kedai kopi juga tidak perlu memasang pagar di premis mereka kerana kebanyakan mereka mempunyai beberapa laluan masuk seperti pusat penjaja dan adalah mencabar untuk menetapkan satu laluan masuk dan menyediakan tenaga manusia bagi menguruskannya.
Namun, pengendali kedai kopi perlu menetapkan tempat - misalnya di gerai minuman - untuk memeriksa status vaksinasi pengunjung serta mengingatkan pengunjung yang belum divaksinasi agar tidak menjamu selera di sana.
Sementara itu, Cik Fu berkata langkah penguatkuasaan juga akan mengambil pendekatan pragmatik.
"Kami tidak mahu menyusahkan sebahagian besar pengunjung yang sudah divaksinasi.
"Pasukan penguatkuasaan kami akan menjalankan rondaan dan pada waktu tertentu, bertanya mereka yang sedang menjamu selera bagi status vaksinasi mereka.
"Jika mereka belum divaksinasi, kami akan menasihatkan mereka dan mencatat nama mereka, dan jika mereka berulang kali datang menjamu selera lagi, kami tiada pilihan lain tetapi akan mengambil langkah penguatkuasaan dan mendenda mereka," ujarnya.
Tambahnya, pihak berkuasa juga boleh menjalankan pemeriksaan pada waktu tertentu di kedai kopi atau pusat penjaja tertentu yang didapati mempunyai ramai warga emas yang tidak divaksinasi berkumpul, dengan pemeriksaan dijalankan lebih kerap.
Cik Fu berkata langkah ini bertujuan menghalang warga emas yang tidak divaksinasi daripada berkumpul di ruang masyarakat untuk melindungi mereka daripada penyakit serius.