PIHAK berkuasa sedang mencari cadangan untuk membangunkan dan mengendalikan pembangunan pelancongan bersepadu di Daerah Tasik Jurong.

Dalam satu kenyataan pada Selasa (15 Mac), Lembaga Pelancongan Singapura (STB) berkata ia menjangkakan hab gaya hidup dan pelancongan baru itu terdiri daripada penginapan berkualiti tinggi serta gabungan tarikan, runcit, makanan dan minuman serta tawaran hiburan.

Pembangunan itu harus memberi penekanan kepada teknologi, "edutainment" atau pendidikan hiburan dan kemampanan, tambah STB.

Ia juga harus melengkapkan tarikan berdekatan yang sedia ada seperti Taman Tasik Jurong dan Pusat Sains baru, serta disepadukan dengan baik dengan seluruh Daerah Tasik Jurong melalui rangkaian jalan mesra pejalan kaki dan ruang awam yang direka dengan baik, kata lembaga itu.

Pada 2019, STB telah mengumumkan rancangan untuk pembangunan tapak seluas 6.8 hektar bersebelahan Tasik Jurong untuk menjadi hab gaya hidup dan pelancongan di Daerah Tasik Jurong seluas 410 hektar - daerah perniagaan terbesar Singapura di luar kawasan pusat bandar.

Tapak yang diketepikan bagi pembangunan pelancongan itu terletak di persimpangan Boon Lay Way dan Jurong Town Hall Road, bersebelahan stesen MRT Chinese Garden.

Tender akan dibuka selama tujuh bulan dan ditutup pada 18 Oktober 2022.

Selepas pemberian tender, keseluruhan tapak akan dipajakkan kepada pembangun yang berjaya selama 60 tahun, dan mesti siap dalam tempoh lima tahun dari tarikh cadangan itu diterima. - The Straits Times