PELAYARAN perintis akan diteruskan seperti yang dirancang, menyusuli respon pantas dan mantap dalam menangani kes Covid-19 yang disyaki berlaku di atas kapal persiaran Quantum of the Seas milik Royal Caribbean pada Rabu (9 Dis), kata Lembaga Pelancongan Singapura (STB).

Penumpang berusia 83 tahun itu telah disahkan tidak menghidap Coviv-19 menyusuli ujian tambahan di Pusat Nasional Bagi Penyakit Berjangkit (NCID). Dalam kenyataannya pada Khamis, STB berkata pemerintah akan terus memantau hasil pelayaran perintis dalam beberapa bulan mendatang sebelum memutuskan langkah seterusnya bagi pelayaran. Genting Cruise Lines dan Royal Caribbean International dibenarkan untuk meneruskan pelayaran perintis tanpa destinasi masing-masing pada November dan Disember, setelah memenuhi syarat di bawah program pensijilan CruiseSafe wajib pemerintah. Selain protokol kecemasan yang dilaksanakan pada Rabu, langkah berjaga-jaga seperti pengujian Covid-19 wajib, pengurangan kapasiti belayar dan langkah jarak selamat ketat turut dilakukan. "Banyak langkah-langkah ini, seperti pengujian sebelum menaiki kapal dan selepas ketibaan, melebihi syarat yang ada bagi kegiatan lain, dan memberi jaminan lebih besar bagi pelayaran selamat," kata STB.