Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

STB sedang dapatkan cadangan bagi Daerah Tasik Jurong

Mar 16, 2022 | 5:30 AM
JURONG LAKE DISTRICT: Lukisan artis untuk kawasan tersebut setelah ia dibangunkan pada masa kelak. - Foto STB
JURONG LAKE DISTRICT: Lukisan artis untuk kawasan tersebut setelah ia dibangunkan pada masa kelak. - Foto STB -

PIHAK berkuasa sedang mendapatkan cadangan untuk mengembangkan dan mengendalikan pembangunan pelancongan bersepadu di Jurong Lake District.

Dalam satu kenyataan semalam, Lembaga Pelancongan Singapura (STB) berkata mereka menjangka hab gaya hidup yang baru dan pelancongan itu terdiri daripada penginapan yang bermutu tinggi serta gabungan tempat tarikan, kedai runcit, tempat makan dan minum serta hiburan.

Pembangunan itu menekankan kepada teknologi 'didik hibur' - atau edutainment - dan kemampanan, kata STB.

Selain itu, ia juga harus melengkapi tarikan berdekatan yang sedia ada, seperti Taman Tasik Jurong, dan Pusat Sains Singapura yang baru.

Ia juga dijangka disepadukan dengan seluruh kawasan Jurong Lake District melalui rangkaian laluan yang mesra pejalan kaki dan ruang awam yang direka dengan baik, tambah STB.

Pada 2019, STB telah mengumumkan pelan pembangunan untuk tapak seluas 6.8 hektar bersebelahan Tasik Jurong untuk menjadi hab gaya hidup dan pelancongan di Jurong Lake District seluas 410 hektar.

Plot yang diketepikan untuk pembangunan pelan itu terletak di persimpangan Boon Lay Way dan Jurong Town Hall Road, sebelah stesen MRT Chinese Garden dan Pusat Sains baru yang akan berpindah ke kawasan itu pada pertengahan 2020-an.

Dengan pelancaran permintaan cadangan semalam, STB kini menjangka pembangunan pelancongan itu disiapkan menjelang 2028.

Tender akan dibuka selama tujuh bulan dan akan ditutup pada 18 Oktober.

Syarikat-syarikat yang menyatakan minat untuk memberi cadangan untuk tapak tersebut pada satu latihan awal pada 2019 akan dijemput untuk menyertai, kata STB.

Pembangunan itu bakal mempunyai keluasan lantai dengan maksimum 84,000 meter persegi (sqm), terdiri daripada ruang tarikan dengan minimum 35,000 sqm; ruang hotel seluas 21,000 sqm dan ruang komersial hingga 19,000 sqm.

Ia juga dijangka mempunyai sekitar 340 bilik hotel.

Selepas pemberian tender, tapak itu akan dipajakkan kepada pembangun selama 60 tahun, dan diselesaikan dalam tempoh lima tahun dari tarikh cadangan diterima.

Ketua eksekutif STB, Encik Keith Tan, berkata Singapura kekal sebagai destinasi tarikan untuk peniaga dan pelancong walaupun dilanda Covid-19.

"Sementara kami memperbaharui tawaran pelancongan yang sedia ada, kami juga harus mencipta peluang untuk pelaburan dalam produk pelancongan baru.

"Pelancaran permintaan cadangan ini menandakan tujuan kami untuk meneruskan pelan jangka sederhana kami, supaya boleh membina masa depan yang lebih baik," kata beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg