Topik diikuti
Pergi ke BHkuStesen MRT Pasir Ris East dijangka mula operasi pada 2030
Stesen MRT Pasir Ris East dijangka mula operasi pada 2030
PENDUDUK di Pasir Ris boleh menjangkakan stesen MRT baru, Pasir Ris East, di bawah Laluan Rentas Pulau (CRL) yang dijangka mula beroperasi pada 2030. Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dalam satu kenyataan pada Isnin (7 Feb) berkata ia telah menganugerahkan kontrak sivil bagi rekaan dan pembinaan stesen itu kepada Singapore Engineering & Construction Pte. Ltd. - Sinohydro Corporation Limited (Singapore Branch) Joint Venture. Kontrak itu bernilai sekitar $363 juta. Kerja pembinaan bagi stesen Pasir Ris East di bawah fasa pertama CRL itu dijangka bermula pada suku kedua tahun ini. Menurut LTA, memandangkan stesen Pasir Ris East terletak di sepanjang jalan raya sibuk di Pasir Ris Drive 1 dekat kawasan blok perumahan dan kemudahan masyarakat, lencongan trafik dan utiliti akan dilaksanakan secara berperingkat bagi mengurangkan kesan kepada penduduk dan pengguna jalan raya. Langkah keselamatan akan diambil apabila menjalankan kerja penggalian dan Struktur Penahanan dan Penstabilan Bumi yang dijangka sekitar 25 meter dalam, bagi memastikan kestabilan tanah dan struktur sekeliling. LTA berkata ia akan bekerjasama rapat dengan kontraktor untuk memantau kerja-kerja itu bagi memastikan ia dijalankan dengan selamat dengan kesan minimal kepada pihak berkepentingan berdekatan.
Menurut LTA, Singapore Engineering & Construction adalah antara pakar kejuruteraan awam dan pembinaan yang paling mapan di Singapura. Projek syarikat itu sebelum ini termasuk pembinaan Bangunan Kemudahan Tai Seng yang memberi khidmat kepada Laluan Downtown dan peluasan Jejambat Keppel. Sinohydro Corporation Limited pula adalah syarikat pembinaan dan kejuruteraan kuasa hidro yang telah terlibat dalam pelbagai kerja infrastruktur dalam dan luar negara. Syarikat itu kini sedang membina stesen Napier dan Marina South untuk Laluan Thomson-East Coast. CRL adalah laluan MRT kelapan Singapura. Ia akan berkhidmat kepada pembangunan sedia ada dan akan datang di koridor timur, timur laut dan barat, menghubungkan hab utama seperti Daerah Tasik Jurong, Daerah Digital Punggol dan kawasan Changi. Separuh stesen CRL adalah pusat pertukaran dengan laluan kereta api lain, menjadikannya lebih mudah untuk penumpang membuat perjalanan merentasi rangkaian rel. Fasa pertama CRL sepanjang 29 kilometer dan terdiri daripada 12 stesen dari Aviation Park ke Bright Hill. Ia akan berkhidmat di kawasan kediaman dan perindustrian di Loyang, Tampines, Pasir Ris, Defu, Hougang, Serangoon North dan Ang Mo Kio dan memberi manfaat kepada lebih 100,000 isi rumah. Dengan fasa pertama CRL, kawasan riadah seperti Taman Pantai Changi dan Taman Bishan-Ang Mo Kio akan lebih mudah diakses dengan pengangkutan awam.
