Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Stesen MRT Punggol Coast dibuka 10 Dis

Oct 10, 2024 | 3:19 PM
Stesen Punggol Coast akan menjadi stesen terminal bagi Laluan Timur Laut (NEL).
Stesen Punggol Coast akan menjadi stesen terminal bagi Laluan Timur Laut (NEL). - Foto FACEBOOK CHEE HONG TAT

Stesen MRT Punggol Coast, sambungan dari stesen Punggol yang sedia ada di Laluan Timur Laut (NEL), akan dibuka untuk perkhidmatan penumpang pada 3 petang, 10 Disember 2024, kata Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada 10 Oktober.

Dengan pembukaan itu, stesen Punggol Coast akan menjadi stesen terminal bagi laluan NEL sepanjang 22 kilometer.

Laluan itu juga akan mempunyai 17 stesen setelah penambahan tersebut.

Terletak di Daerah Digital Punggol, stesen baru itu akan menambah baik kesinambungan pengangkutan untuk lebih 28,000 pekerja di JTC Business Park.

Ia juga akan memberi manfaat kepada sekitar 12,000 pelajar daripada kampus Punggol Institut Teknologi Singapura (SIT) serta mereka yang bakal melawat Punggol Coast Mall, yang sedang disiapkan secara berperingkat mulai September.

Kampus SIT akan mempunyai akses mudah ke salah sebuah pintu keluar stesen Punggol Coast, manakala pintu keluar yang lain akan terletak di New Punggol Road.

LTA menambah bahawa stesen itu terletak di bawah plaza masyarakat Nexus. Ia berada dalam jarak dekat, boleh berjalan kaki dari Pusat Tukaran Bas Punggol Coast, dan akan menempatkan lebih 300 tempat letak basikal, lapor The Straits Times.

Pembinaan stesen Punggol Coast bermula pada 2018, dan stesen itu telah diserahkan kepada pengendali rel SBS Transit pada Ogos.

SBS Transit, yang mengendalikan NEL, telah menjalankan ujian operasi untuk persediaan pembukaan stesen tersebut.

Dengan stesen baru itu, lebih 200,000 isi rumah akan berada dalam jarak 10 minit jika berjalan kaki dari stesen di sepanjang NEL.

Dalam hantaran di Facebook pada 10 Oktober, Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat, berkata stesen baru itu akan memberi manfaat kepada penduduk Punggol yang ingin ke kawasan tengah Singapura.

Sebagai contoh, penumpang akan mengambil masa kira-kira 45 minit perjalanan dari Punggol North ke Outram Park melalui NEL, berbanding perjalanan sekarang selama 60 minit yang merangkumi perjalanan bas dari Punggol North ke stesen Punggol.

Pada awalnya, ia dijadual siap pada 2023. Namun, pembinaan stesen baru itu ditangguhkan kerana pandemik Covid-19. Stesen itu kemudian diumumkan akan beroperasi pada penghujung 2024.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg