Pembukaan stesen MRT Punggol Coast yang baru akan membolehkan kereta api di Laluan Timur Laut (NEL) beroperasi lebih kerap, sekali gus mengurangkan masa menunggu penumpang pada waktu sibuk.
Demikian menurut Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat, pada 10 Disember.
Stesen MRT Punggol Coast dibuka untuk perkhidmatan pada 3 petang, 10 September.
Stesen terminal baru NEL sepanjang 22 kilometer itu akan menyediakan perkhidmatan bagi penumpang menuju ke Daerah Digital Punggol (PDD) dan kampus Institut Teknologi Singapura (SIT) Punggol, serta Punggol Coast Mall yang bakal dibuka.
Pembukaan stesen itu akan memendekkan masa perjalanan ke pusat bandar kira-kira 15 minit bagi penduduk yang tinggal berhampiran stesen tersebut.
Sebagai contoh, perjalanan dari Punggol North ke Outram Park akan mengambil masa kira-kira 45 minit, berbanding 60 minit sebelum ini.
Stesen Punggol Coast, yang merupakan tambahan 1.6 kilometer dari stesen Punggol, mempunyai dua pintu masuk – satu di New Punggol Road dan satu lagi di PDD.
Ia menyediakan laluan berbumbung ke perhentian bas dan tempat menunggu teksi berdekatan, serta 300 ruang letak basikal, lapor The Straits Times (ST).
Stesen itu menambah jumlah stesen di NEL kepada 17. Lebih 200,000 isi rumah tinggal dalam jarak 10 minit perjalanan kaki ke stesen NEL, yang dikendalikan oleh SBS Transit.
NEL dan LRT Sengkang-Punggol telah memacu pertumbuhan seluruh kawasan timur laut, kata Encik Chee semasa berucap di pembukaan stesen tersebut.
Berbanding semasa NEL dibuka pada 2003, “hampir setiap stesen di sepanjang laluan ini sekarang sudah mempunyai pusat bandar meriah”, ujar beliau.
“Saya yakin tidak lama lagi Stesen Punggol Coast akan turut menjadi meriah sebegitu,” tambah Encik Chee.
Menteri Kanan, Encik Teo Chee Hean, yang juga Anggota Parlimen (GRC Pasir Ris-Punggol), turut hadir pada pembukaan stesen itu.
Stesen baru itu “mendekatkan Punggol dengan seluruh Singapura”, kata Encik Teo, sambil menggariskan inisiatif lain bagi meningkatkan kesalinghubungan bagi penduduk, termasuk perkhidmatan bas dan jalan raya baru seperti Punggol North Avenue.
Beliau turut menekankan bahawa ciri-ciri mampan yang ada di stesen itu dapat mengurangkan sekitar 1,000 tan pengeluaran karbon setiap tahun.
Stesen Punggol Coast, yang direka bentuk oleh Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), adalah stesen pertama yang mempunyai ruang awam di pintu masuknya bagi berfungsi sebagai tempat mengadakan acara dan program kemasyarakatan.
Encik Chee berkata pembukaan setiap stesen MRT baru menunjukkan usaha hampir 20 tahun, dari peringkat awal perancangan dan reka bentuk hingga pembinaan dan ujian.
“Sama seperti projek pengangkutan lain, contohnya Tuas Port dan Terminal 5 Lapangan Terbang Changi, projek MRT kita boleh mengambil masa beberapa penggal pemerintah dan memerlukan penyelarasan baik antara agensi untuk merealisasikan perancangan ini,” tambahnya.
Menyatakan bahawa penduduk menantikan pembukaan Laluan Rentas Pulau (CRL) – Punggol, yang akan siap pada 2032, Encik Chee berkata peruntukan telah dibuat bagi pusat tukaran dengan laluan rel tambahan di stesen Punggol sejak sebelum NEL disiapkan lebih 20 tahun lalu.
Ini menunjukkan perancangan jangka panjang di sebalik pembangunan prasarana pengangkutan Singapura, tambah Encik Chee.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg