LIMA Koridor Identiti (Identity Corridors) yang dipenuhi lanskap jalan yang unik, warisan dan pengalaman, telah dikenalpasti dan Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) dan rakan agensinya akan bekerjasama dengan rakan kerja lain untuk membangunkan dan melaksanakan strategi bagi mengekalkan dan meningkatkan keunikan mereka.
Ini agar kawasan-kawasan ini dapat terus dihayati dan dinikmati oleh generasi akan datang.
Lima koridor itu ialah Koridor Timur Bersejarah, Koridor Thomson-Kallang, Koridor Kereta Api, Koridor Daerah Dalaman dan Koridor Southern Ridges dan Pantai.
Menjelaskan lebih lanjut berkenaan penambahbaikan yang bakal dilaksanakan, URA berkata, koridor Timur Bersejarah akan mengandungi rangkaian berbasikal dan kawasan kediaman yang merangkumi East Coast.
Jalur Budaya Geylang Serai akan menghidupkan lagi kawasan sekitar Pasar Geylang Serai dengan plaza perayaan baru, lengkungan mercu tanda dan laluan berbasikal baru.
Peningkatan kegiatan berjalan kaki dan berbasikal juga sedang dalam kajian di sepanjang koridor Jalan Geylang-Changi yang lain, kata URA.
Sementara itu, koridor Thomson-Kallang akan dipenuhi kehijauan dengan perkampungan bandar dan pusat masyarakat.
Ruang awam di sepanjang Koridor Utara-Selatan akan diwujudkan bersama masyarakat, manakala Sungai Kallang akan lebih mudah dikunjungi, lanskapnya diperbaiki untuk memulihkan habitat serta akan ada ruang persiaran untuk rekreasi.
Koridor Daerah Dalaman pula akan menghubungkan bandar dengan kawasan pinggiran.
Lebih banyak ruang berjalan kaki dan berbasikal mungkin diperkenalkan untuk menggalakkan orang ramai meneroka kawasan kejiranan yang berbeza di sepanjang koridor di sepanjang Zion - Kim Seng - Scotts - Newton - Moulmein - Balestier - Lavender - Crawford Road itu.
Di Koridor Kereta Api pula, selain kerja berterusan untuk meningkatkan kebolehcapaian dan kehijauan di sepanjang laluan 24 kilometer utama, akan ada peluang bekerjasama dengan masyarakat untuk membangunkan pusat aktiviti.
Garis panduan reka bentuk bandar akan membimbing rancangan pembangunan bersebelahan di sepanjang koridor ini untuk memastikan ia melengkapi dan menyumbang kepada pengalaman hijaunya.
Terdapat juga rancangan untuk mengkaji Laluan Jurong Lama dan Daerah Tasik Jurong, sebagai sebahagian daripada koridor ini, kata URA.
Persiaran pantai sepanjang sekitar 10 kilometer akan menghubungkan Bendungan Marina ke Southern Ridges sebagai sebahagian Koridor Southern Ridges dan Pantai.
URA mahu mendapatkan idea daripada orang ramai untuk membentuk persiaran itu menjadi ruang awam tersendiri yang menghubungkan Greater Southern Waterfront ke kawasan sekitarnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg