“
SEORANG lelaki berusia 80 tahun bersama isteri dan anak lelakinya meninggal dunia dalam satu kejadian di rumah pasangan warga emas itu di Lakeside pada Khamis (10 Dis).Polis berkata tiada unsur jenayah disyaki dan pihaknya diberitahu tentang kes kematian luar biasa di Blok 120 Ho Ching Road itu sekitar 4.15 petang.
Pasangan itu ditemui tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh paramedik.
Anak lelaki mereka, yang sedang mengunjungi mereka, tidak sedarkan diri apabila paramedik tiba dan dibawa ke Hospital Besar Ng Teng Fong dan kemudian disahkan meninggal dunia.
Polis sedang menyiasat kematian mereka.
“
Lelaki warga emas itu, Allahyarham Omar Manan, dilaporkan jatuh di tandas dan apabila isterinya, Allahyarhamha Asmah Bujang, 66 tahun, cuba membantunya, kedua-dua mereka terkena kejutan elektrik, lapor The Straits Times.Anak lelaki mereka, Allahyarham Muhamad Ashikin Omar, 45 tahun, yang datang berkunjung dengan anak perempuannya yang berusia 15 tahun, telah lama menunggu di luar flat itu dan memecahkan pintu rumah untuk masuk.
Melihat ibu bapanya terbaring di lantai, beliau cuba menyelamatkan mereka tetapi turut terkena kejutan elektrik.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg