Topic followed successfully
Go to BHkuSuami isteri bekerja bedah mayat
TUGAS mereka mungkin tidak seglamor siri drama CSI.
Namun, pasangan suami isteri - Encik Mohamed Shazni Badaruzaman, 31 tahun, and Cik Illya Aquida Rano Izhar, 25 tahun - yang juga pegawai teknikal forensik, menggalas tanggungjawab besar membantu dalam kes koroner di rumah mayat Penguasa Sains Kesihatan (HSA) setiap hari.
Sebagai pegawai teknikal forensik, tugas mereka termasuk melakukan imbas CT pada mayat, melakukan eviserasi tubuh (membedah dan mengeluarkan organ dalaman) dan menjelaskan kepada waris sebab kematian.
Dari 7.30 pagi hingga 2 petang, mereka memproses kes koroner.
Antara lain termasuk mencatat ketinggian dan berat badan mayat, mengambil gambar dan merekod barangan peribadi, melakukan imbas CT, mendapatkan maklumat perubatan si mati dan berhubung dengan pegawai siasatan.
Dari 2 hingga 5 petang pula, tugas mereka termasuk membuat kerja pentadbiran, pengurusan di pejabat, logistik dan perkara adhoc lain yang memerlukan perhatian.
Bagi Cik Illya, beliau juga bekerja di makmal histologi, di mana mereka memproses tisu daripada organ dan menelitinya di bawah mikroskop.
"Pada mulanya saya tak tahu apakah sebenarnya pekerjaan ini... sehinggakan saya pergi ke pusingan kedua wawancara pekerjaan. Mereka bawa saya ke galeri untuk melihat demonstrasi sebenar pekerjaan itu.
"Saya mengambil masa membuat keputusan tetapi setelah diberi penjelasan, saya melihat pekerjaan ini sebagai satu peluang," kata Encik Shazni, yang mulanya bekerja sebagai pegawai sokongan teknikal pada 2010.
Di Singapura, semua kematian yang berlaku secara mendadak tanpa sebab yang diketahui atau disyaki berpunca daripada sebab luar biasa akan dilaporkan sebagai kes koroner.
Divisyen Perubatan Forensik (FMD) di HSA akan memberi nasihat kepada koroner negara sama ada autopsi perlu dilakukan bagi menentukan punca kematian.
Sekiranya autopsi dibenarkan koroner, FMD akan melaksanakan pemeriksaan yang perlu.
Pengalaman bekerja dalam minggu pertama di rumah mayat masih segar dalam ingatan Encik Shazni.
Walaupun tidak mengalami mimpi buruk, wajah si mati masih terbayang dalam fikirannya.
Namun, apa yang beliau paling tidak dapat lupakan adalah baunya.
"Aspek paling mencabar sekali adalah baunya. Baunya kekal dalam ingatan anda. Lebih-lebih lagi pada hari pertama saya bekerja, kami mendapat kes di mana mayatnya sudah amat reput. Namun, lama-kelamaan kami sudah terbiasa dengannya," kata beliau.
Cik Illya, yang mula bekerja pada 2013, pula berkata antara yang menyedihkan adalah kes yang melibatkan bayi dan kanak-kanak.
"Mereka amat muda dan ia sangat menyedihkan, lebih-lebih lagi apabila kami menerima mereka daripada hospital dan tubuh mereka penuh dengan tiub. Jika mereka perlu menjalani autopsi, kami tiada pilihan dan tetap perlu melakukannya juga," kata beliau.
Antara cabaran utama pekerjaan mereka adalah mengekalkan piawaian profesional sementara memenuhi jangkaan orang awam.
Disebabkan sensitiviti budaya dan agama dalam masyarakat berbilang kaum di Singapura, Encik Shazni berkata mereka perlu melepaskan mayat kepada keluarga pada hari yang sama setiap hari, meskipun jika hari itu terdapat banyak kes koroner.
Cik Illya menambah bahawa keluarga si mati biasanya berasa bimbang dan bagi keluarga Muslim, terutamanya, mereka mahu mayat dilepaskan secepat mungkin untuk dikebumikan.
"Kami perlu pastikan tubuh mayat dijahit dengan rapi, bersih dan tiada kesan darah atau sebagainya sebelum melepaskannya kepada keluarga. Itulah cabarannya - melepaskan mayat secepat mungkin tetapi dalam keadaan terbaik," kata beliau.
Di samping itu, tugas mereka juga termasuk menjelaskan kepada keluarga si mati mengenai sebab kematian dalam cara yang mudah untuk difahami.
Ini seperti istilah penyakit jantung iskemia, radang paru-paru (pneumonia) dan pelbagai istilah rumit lain bergantung pada kes.
"Keluarga si mati akan menghargai jika anda menunjukkan rasa empati. Meskipun kami tahu mereka mungkin bersikap agresif, kami perlu menjawab soalan mereka secara profesional, menjaga nada suara, adab dan bahasa gerak geri," kata Encik Shazni.
Pengalaman bekerja di rumah mayat itu sememangnya mencabar dan penuh cerita duka.
Namun bagi Encik Shazni dan Cik Illya, tempat kerja mereka itu juga tempat bermulanya cinta mereka.
Mereka bertemu ketika makmal histologi tempat Cik Illya bertugas menjalani ubah elok dan ia dipindahkan ke rumah mayat - tempat kerja Encik Shazni - sebagai tempat sementara.
"Saya lihat orangnya (Encik Shazni) kerja keras. Beliau tidak pernah lewat ke tempat kerja. Kalau orang biasanya mop sekali, beliau akan lakukannya tiga kali. Semasa waktu makan tengah hari, beliau akan solat di sini. Dari situ, saya mula jatuh hati," kata Cik Illya.
Memandangkan mereka juga tinggal hanya selang beberapa blok, Encik Shazni dan Cik Illya biasanya pulang menaiki kereta api bersama, sekali gus mempererat hubungan antara mereka.
"Beliau (Cik Illya) membuat saya lebih yakin pada diri sendiri. Orangnya pun jujur. Oleh sebab kami bekerja dalam industri yang sama, kami memahami jangkaan dan komitmen satu sama lain. Saya rasa tidak ada orang lain yang akan fahami apa yang kami perlu tangani setiap hari," kata Encik Shazni.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 2015 dan kini mempunyai seorang anak perempuan berusia setahun.
Menurut Encik Shazni, sebagai seorang Muslim, beliau berasa puas dapat memenuhi kewajipan masyarakat menerusi pekerjaannya.
Beliau berasa lebih yakin apabila kakitangan Pejabat Mufti mengunjungi tempat kerjanya beberapa tahun lalu untuk mempelajari dan memahami proses pekerjaannya dalam usaha melenyapkan salah faham orang ramai.
"Saya rasa agak terkejut kerana di akhir kunjungan itu, seorang kakitangan Pejabat Mufti berkata beliau kagum dan menyokong orang Islam yang bekerja di sini, ia fardu kifayah. Ini memperkukuh lagi kepercayaan bahawa saya melakukan perkara yang betul," ujarnya.
Encik Shazni, yang memiliki ijazah sarjana muda sains dalam sains farmaseutikal, berharap dapat terus mempertingkat kemahiran dan pada masa yang sama, memperbaiki proses pekerjaan di rumah mayat.
Antara rancangan jangka panjangnya adalah menjadi jururadiografi forensik dan beliau akan menduduki ujian kemasukan sekolah perubatan tahun depan.
Beliau dan Cik Illya menggalakkan sesiapa saja yang mempunyai kemahiran dan kelayakan sesuai agar menyertai pekerjaan mereka, yang memerlukan ketabahan, komitmen, daya usaha dan dorongan mahu berkhidmat kepada orang awam.
"Seperti kata seorang kakitangan kanan kami, 'Ia bukan satu pekerjaan. Ia satu misi (calling)'," kata Encik Shazni.


