Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Suami isteri usia emas raih ijazah

Oct 14, 2022 | 5:30 AM
TERCAPAI CITA-CITA: Cik Farida Othman (tiga dari kiri) dan suaminya, Encik Sumartono Rono Pawiro (empat dari kiri), bergambar kenangan selepas tamat Majlis Konvokesyen di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM) pada Ogos lalu. - Foto PERGAS
TERCAPAI CITA-CITA: Cik Farida Othman (tiga dari kiri) dan suaminya, Encik Sumartono Rono Pawiro (empat dari kiri), bergambar kenangan selepas tamat Majlis Konvokesyen di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM) pada Ogos lalu. - Foto PERGAS -

FAKTOR umur bukanlah penghalang kepada Cik Farida Othman, 60 tahun, dan suaminya Encik Sumartono Rono Pawiro, 61 tahun, untuk menggenggam segulung Ijazah Sarjana Muda dari Institut Pengajian Islam Pergas (IPIP).

Pada usia emas ini, mereka menjadi contoh yang sangat baik bagi para pelajar yang ingin meningkatkan pencapaian diri, seterusnya menjadi insan yang bermanfaat untuk keluarga, masyarakat dan agama.

Ketika ditemu bual, kedua-dua graduan Ijazah Sarjana Muda Ilmu Wahyu dan Warisan Islam dengan Kepujian itu melahirkan rasa syukur kerana berjaya menamatkan pengajian mereka di IPIP.

Cik Farida berkata: "Kami berdua mengambil masa selama empat tahun setengah untuk menghabiskan tempoh pembelajaran yang bermula dari tahun 2017 hingga 2021.

"Saya sangat gembira, terharu dan berpuas hati atas pencapaian yang cukup bermakna dalam kehidupan ini. Sungguh tidak disangka, dalam umur yang telah lanjut sebegini, saya masih dapat merangkul segulung ijazah dari IPIP."

Mengenang kembali cabaran yang dihadapi sepanjang menyambung pengajian, beliau berkata, salah satu cabaran ialah mereka perlu mengimbangi masa kerja dan pembelajaran dengan baik.

Jelas beliau: "Perjalanan mencapai Ijazah Sarjana Muda pada peringkat usia ini, bukanlah perjalanan mudah. Penat sudah pasti kerana kami terikat dengan komitmen kerja dan rumah tangga.

"Oleh itu, kami perlu bijak mengimbangi waktu kerjaya dan pembelajaran. Kadang-kadang, kami terpaksa mengambil cuti kerja untuk memberi tumpuan terhadap tugasan dan ulang kaji peperiksaan.

"Bagaimanapun, segala penat lelah yang dicurahkan sangat berbaloi. Kami berdua sangat gembira kerana berjaya menyelesaikan pengajian ini dengan sempurna.

"Terima kasih kepada rakan-rakan sekelas yang selalu menolong, sekaligus membuat perjalanan sukar jadi lebih mudah."

Mengulas pengalaman belajar di IPIP, mereka berdua turut menyifatkan IPIP sebagai institusi terbaik untuk mendalami ilmu pengajian Islam.

Tambah Cik Farida, IPIP menawarkan program yang holistik dan merangkumi pelbagai modul yang menarik untuk dipelajari.

Pengiktirafan IPIP oleh universiti antarabangsa terkenal, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM) juga sudah cukup membuktikan kredibiliti IPIP sebagai pusat pendidikan tinggi Islam yang berkualiti di Singapura.

"Kami bersyukur kerana dikurniakan peluang untuk mempelajari program Islamik seperti ini di Singapura. Dengan penyediaan program tersebut, maka kami tidak perlu lagi ke luar negara. Malah, tiada halangan untuk kami bekerja sambil belajar.

"Oleh itu, kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Pergas kerana menganjurkan program bermanfaat seperti ini kepada masyarakat Islam Singapura."

MAKLUMAT LANJUT

- Program Ijazah Sarjana Muda Ilmu Wahyu dan Warisan Islam menawarkan pendekatan perbandingan dalam pengajian warisan Islam, pemikiran dan agama lain berdasarkan Usul al-Din. Ia memenuhi visi untuk mempromosikan sains Islam yang relevan dengan disiplin pengajian kontemporari.

- Untuk maklumat lanjut, Layari https://ipip.sg/program/pengajian-islam/bachelor/

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg