Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Suasana lebih meriah, keghairahan terasa semula

May 3, 2022 | 5:30 AM
TAWAR PELBAGAI KHIDMAT DAN KEMUDAHAN: Masjid Kassim, antaranya, menawarkan 'Ramadan Kids Night', satu khidmat yang membolehkan ibu bapa menitipkan anak mereka ketika mereka mengerjakan solat tarawih. - Foto MASJID KASSIM
TAWAR PELBAGAI KHIDMAT DAN KEMUDAHAN: Masjid Kassim, antaranya, menawarkan 'Ramadan Kids Night', satu khidmat yang membolehkan ibu bapa menitipkan anak mereka ketika mereka mengerjakan solat tarawih. - Foto MASJID KASSIM -

Pandemik Covid-19 yang melanda dunia telah menyerlahkan kecekalan, ketabahan dan daya tahan warga Singapura. Lebih menonjol lagi adalah semangat golongan tertentu, daripada pekerja barisan hadapan yang menyumbang kepada kestabilan Singapura hingga mereka yang kehilangan orang tersayang kepada virus tersebut. BERITA HARIAN meninjau bagaimana pandemik ini telah mengubah kehidupan tiga individu dari golongan tersebut sejak dua tahun lalu.

MASJID SERATA SG

Masjid-masjid kembali dibanjiri jemaah

TAHUN ini, malam-malam Ramadan dimeriahkan menyusuli kelonggaran langkah-langkah keselamatan.

Masjid-masjid serata Singapura menawarkan lebih banyak ruang solat tarawih dan qiamullail. Keadaan ini jauh berbeza daripada tahun-tahun yang lepas yang menyaksikan masjid-masjid ditutup, terdapat had tempahan solat serta had jemaah yang kecil.

Ia juga menawarkan pelbagai khidmat dan kemudahan.

Masjid Kassim, misalnya, menyediakan kupon makanan bernilai $5 yang boleh digunakan untuk mendapatkan juadah berbuka atau bersahur di kedai-kedai makan berdekatan memandangkan berbuka dan makan di masjid masih belum dibenarkan.

"Kami sangat menghargai sukarelawan kami yang mencurahkan tenaga bagi memastikan langkah-langkah keselamatan terjaga," kata Encik Sadiqul Amin, Pengurus Masjid Kassim.

Sukarelawan Masjid Kassim juga menjayakan 'Ramadan Kids Night', satu khidmat yang membolehkan ibu bapa menitipkan anak mereka ketika mereka mengerjakan solat tarawih.

Dari segi jumlah jemaah yang datang ke masjid, Encik Mohamed Khalid, Pengurusi Eksekutif Masjid Al-Islah, berkata ia mencecah 90 peratus hadnya pada 10 malam terakhir Ramadan.

TANJONG KATONG COMPLEX

Perniagaan Raya di TKC laris semula

PUSAT beli-belah Tanjong Katong Complex menjadi tumpuan orang ramai menjelang Syawal sebelum ditutup untuk kerja-kerja baik pulih pada Ogos 2023.

Menurut Puan Fauziah, 65, ibu kepada pemilik kedai Haji Abdullah & Sons Pte Ltd, penjualan tahun ini mula rancak sejak dari bulan Mac lagi.

Bagi Puan Fauziah, beliau dan anaknya membawa masuk stok baru pada bulan Mac untuk melihat sambutan pelanggan. Buat kali pertamanya, mereka menjual Kebaya Nyonya.

"Setakat ini, Kebaya Nyonya kami sangat laris dan kami hanya tinggal dalam 10 pasang," katanya.

Menurut beliau, Kebaya Nyonya berkemungkinan laku kerana para pelanggan tertarik dengan pakaian klasik yang kini jarang dilihat.

Bagi Encik Reza Fotohi, pemilik kedai Fotohi Carpet Gallery, beliau juga risau akan jualannya setelah 2 tahun mengalami pencorotan.

Namun demikian, beliau teruja kerana penjualan permaidani tahun ini sangat memberangsangkan dan dilanggani generasi muda serta tua.

KAMPONG GLAM

Suasana meriah bazar kembali ke Kampong Glam

KEMERIAHAAN bazar yang dinanti-nantikan orang ramai telah kembali ke Kampong Glam.

Sekitar 22 gerai yang mengambil bahagian dalam bazar 'Walkthrough The Souq' yang dianjurkan oleh Persatuan One Kampong Gelam (OKG) dengan kerjasama Lazada Singapore dan juga syarikat pengurusan acara LalooLalang.

"Tahun ini, kek tapak kuda nutella dan tart ondeh-ondeh kami sangat popular. Bisnes juga membatasi jangkaan kami. Disebabkan bazar yang berdekatan, ramai yang mengunjungi kedai kami juga. Jadi kami memanjangkan waktu pembukaan dalam satu, dua jam," kongsi Cik Ayra, pemilik Wonders Bakery yang terletak di Arab Street.

Namun, pemilik T Bob's Corner, Cik Indah Nabielah, yang mempunyai gerai di Laloolalang, berkata bazar kali ini tidak mencapai jangkauannya.

Beliau juga berkongsi bahawa gerai yang sentiasa sesak pasti akan mendapat keuntungan tetapi berapa banyak keuntungan itu agak susah untuk dijangkakan.

JOO CHIAT COMPLEX

Pelanggan ceria dapat beli-belah sakan

KERIANGAN pelanggan mengisi kedai-kedai di Joo Chiat Complex, ada yang mencari baju, ada yang mencari kasut dan ada juga yang mencari barang rumah untuk menyambut bulan Syawal yang dinanti-nantikan ini.

Walaupun bukan hujung minggu, Joo Chiat Complex sentiasa penuh dengan pelanggan yang hendak membeli barangan Raya.

Pemilik perniagaan di Joo Chiat Complex juga berkongsi bahawa perniagaan mereka pada tahun ini melangkaui jangkaan.

"Bisnes memang melangkaui jangkaan. Ini mungkin kerana selepas dua tahun tidak beraya, ramai yang inginkan perayaan yang lebih gah," kata pengurus kedai RH Collections, Cik Bibiq.

GOLDEN LANDMARK

Golden Landmark turut bercahaya

SINARAN lampu lap lip menambahkan lagi seri Hari Raya di pusat beli-belah Golden Landmark.

Ramai yang datang untuk menempah baju dan juga membeli aksesori seperti beg dan kasut.

Antara trend popular tahun ini termasuk baju kurung bermotifkan lace, abaya berlisu dan juga beg unik yang diperbuat daripada kain songket.

Cik Erlina Rahman, pemilik Avarcas yang menjual beg-beg yang diperbuat dari kain songket dan juga kasut buatan tangan, berkongsi bahawa beliau kagum dengan peningkatan dalam jumlah pelanggan yang hendak membeli beg dan kasut.

Pelanggan juga rasa tidak sabar membeli-belah.

"Saya teruja sangat hendak membawa anak-anak saya berjalan raya. Sebab pandemik, kami memang tidak jalan raya langsung," kata Cik Ain, 45 tahun yang mempunyai dua cahaya mata.

SEBERANG TAMBAK

Ramai juga beli-belah di JB

RAMAI juga warga Singapura sudah menyeberangi Tambak apabila sempadan dibuka semula baru-baru ini.

"Saya dan isteri sudah pun mengunjungi Johor. Maklumlah, kami memang suka masuk Johor sebelum pandemik. Jadi, hilang rasa rindu ni. Kami juga mengambil peluang menempah baju kurung di Johor," kata Cik Zul, seorang pesara, antara warga setempat yang ke Johor untuk menjimat kos dan membeli perkakas Raya.

Peniaga di Johor juga melaporkan kenaikan penjualan mereka, ada mendapati keuntungan sebanyak 30 peratus.

"Baju Melayu teluk belanga memang paling popular di kedai saya. Lagipun, 70 peratus pelanggan saya orang Singapura," kata Encik Roslan, pemilik Lan Collection.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg