MULAI 2026, pelajar maktab rendah (JC) dan Institut Millennia (MI) tidak perlu mengambil kira subjek berasaskan kandungan keempat mereka bagi markah kemasukan universiti, melainkan ia meningkatkan markah mereka, kata Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing.

Perubahan itu diharap dapat mengurangkan tekanan peperiksaan GCE peringkat A dan membuka ruang bagi pelajar meneroka minat mereka, serta membolehkan warga dewasa melanjutkan pengajian bagi mendapatka ijazah pada peringkat kemudian dalam perjalanan pembelajaran sepanjang hayat mereka.

Selain itu, peperiksaan pertengahan tahun akan ditiadakan secara beransur-ansur bagi pelajar JC dan MI mulai 2024, sejajar dengan pemansuhan peperiksaan itu di peringkat rendah dan menengah menjelang 2023.

Bagi memberi lebih banyak kelonggaran kepada pelajar untuk meneroka perkara yang diminati mereka tanpa perlu risau tentang keputusan peperiksaan, subjek Kerja Projek (PW) akan dikeluarkan daripada kiraan markah kemasukan universiti mereka bagi pelajar JC1 pengambilan 2024.

Sebaliknya pelajar akan diberi keputusan lulus atau gagal, bukannya gred huruf.

Encik Chan mengumumkan perubahan itu di Parlimen sebagai respons kepada Encik Baey Yam Keng (GRC Tampines) dan Encik Darryl David (GRC Ang Mo Kio), yang bertanya apakah MOE bercadang menyemak kurikulum GCE peringkat A, semasa perbahasan belanjawan Kementeran Pendidikan (MOE).

"Sejak bertahun-tahun, kami telah mengurangkan kandungan kurikulum secara beransur-ansur untuk membebaskan lebih banyak masa dan ruang bagi pembangunan Kompetensi Abad Ke-21, atau 21CC.

"Hari ini, kandungan kurikulum bagi kebanyakan sukatan pelajaran peringkat A kita sudah serupa atau kurang luas daripada sukatan pelajaran antarabangsa yang digunakan sebagai penanda aras untuk perbandingan," kata Encik Chan.

"Sukar mengurangkan kandungan kurikulum lagi tanpa menjejaskan keperluan (pendidikan)," tambahnya.

Buat masa ini, pelajar JC dan MI biasanya mengambil empat subjek berasaskan kandungan - biasanya tiga subjek H2 dan satu H1 - bersama Kertas Am (GP) dan PW. Mereka juga mungkin mengambil Bahasa Ibunda.

Prestasi mereka merentas mata pelajaran ini diambil kira bagi kemasukan ke universiti berautonomi.

Pelajar JC menjalani pendidikan dua tahun sebelum menduduki peperiksaan GCE peringkat A, manakala MI menawarkan laluan tiga tahun.

"Pelajar kita berjaya dalam PW selama ini. Menjadikan PW sebagai mata pelajaran lulus/gagal kini menggalak pelajar kita menggunakan keupayaan dan kreativiti yang lebih besar dalam bidang yang diminati, dan tidak didorong oleh gred," kata Encik Chan.

Pelajar perlu lulus PW untuk layak ke universiti berautonomi.

Perubahan itu bermakna mata kemasukan universiti maksimum ialah 70, bukan 90 seperti sekarang.

"Penjimatan masa daripada persiapan peperiksaan boleh disalurkan ke arah pelibatan pelajar yang lebih mendalam dan pembelajaran melalui pengalaman yang lebih pelbagai.

"Guru akan terus menggunakan penilaian dalam cara yang formatif dan ditentukur untuk memantau kemajuan pembelajaran dan menyokong setiap pelajar."

MOE berkata pada hari Rabu bahawa apabila JC mengeluarkan peperiksaan pertengahan tahun mereka, ini tidak akan digantikan dengan lebih banyak penilaian berasaskan sekolah.

Sekolah juga tidak boleh mempunyai lebih daripada satu penilaian berwajaran bagi setiap mata pelajaran bagi setiap penggal.

Di samping itu, GP akan diwajibkan bagi semua pelajar JC dan MI, bermula dengan pengambilan 2024.

Mata pelajaran Pengetahuan dan Penyelidikan (KI), yang fokus lebih pada falsafah, akan terus ditawarkan tetapi ia tidak lagi boleh menggantikan GP, yang lebih menekankan hal ehwal semasa dan isu kontemporari.