LEBIH 3,000 orang kurang upaya (PWD) yang menggunakan pengangkutan khas untuk ke Sekolah Pendidikan Khas (Sped) dan program berunsur masyarakat boleh menjangka membayar kos lebih rendah mulai hari ini, dengan penambahan subsidi pengangkutan bagi kumpulan itu.
Subsidi Pengangkutan Pengupayaan (ETS) - yang diubah namanya daripada Subsidi Pengangkutan Pertubuhan Kebajikan Sukarelawan, yang dilancarkan pada 2014 - akan menelan belanja tambahan $2 juta setahun bagi pemerintah, satu kenaikan sekitar 20 peratus daripada kadar pendanaan masa kini, kata Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) dalam satu kenyataan media.
Ia juga sebahagian daripada daya usaha di bawah Pelan Induk Pengupayaan 2030 (EMP2030), yang bertujuan membentuk Singapura menjadi sebuah masyarakat penyayang dan inklusif.
"Kami ingin memperkasa mereka yang kurang upaya agar menyertai sepenuhnya sebagai anggota masyarakat penting dan penyumbang," kata Setiausaha Parlimen Kanan Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Eric Chua, yang juga pengerusi bersama jawatankuasa panduan EMP2030, dalam satu catatan semalam.
"Saya menanti untuk berkongsi lebih banyak tentang apa yang boleh kita lakukan bersama di bawah EMP2030 untuk menjadikan Singapura yang lebih penyayang dan inklusif."
Dalam kenyataan itu, MSF berkata ia "kerap menyemak semula skim-skim kami bagi memastikan terdapat sokongan mencukupi yang disediakan" kepada PWD serta pejaga mereka, dan skim yang diperluas akan membiayai kenaikan kos pengangkutan bagi kededuanya saban tahun.
Lebih tertumpu lagi, subsidi tambahan itu meliputi PWD dengan pendapatan isi rumah per kapita (PCHI) sehingga $2,800.
Seperti contoh seorang pengguna kerusi roda dengan PCHI sehingga $800, yang kini membayar $280 bagi pengangkutan bersubsidi akan membayar sekitar $170 selepas 1 Julai tahun ini.
Seorang pengguna kerusi roda dengan PCHI bulanan di bawah $2,800 yang kini membayar $450 bagi pengangkutannya selepas subsidi, akan membayar $410 dengan subsidi yang ditambah.
Selain ETS, PWD juga boleh memohon kad konsesi.
Pemegang kad mendapat tambang orang dewasa sekitar 25 peratus lebih rendah tanpa tambang tambahan bagi jarak melebihi 7.2 kilometer.
Sekiranya mereka tidak dapat menggunakan pengangkutan awam, mereka masih boleh memohon skim subsidi teksi untuk menaiki teksi atau kenderaan sewa privet untuk ke tempat kerja, sekolah atau latihan berkaitan pekerjaan.
Mereka yang layak boleh mendapat tambang sehingga 80 peratus lebih rendah.
Tambahan lagi, pelajar di sekolah Sped yang mendapat dana pemerintah di bawah skim bantuan kewangan Sped akan mendapat insurans daripada NTUC Income mulai 1 Julai ini.
Bagi menyokong lebih ramai kanak-kanak dan golongan muda yang memerlukan, pihak insurans mengumumkan yang ia akan meluaskan Skim Mikro-Insurans Keluarga untuk meliputi golongan itu juga.
Ia termasuk kanak-kanak daripada tadika Kementerian Pendidikan (MOE) di bawah Skim Bantuan Yuran Tadika Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak, dan pelajar di sekolah bebas di bawah Dermasiswa Sekolah Bebas MOE.
"Kami ingin memperkasa mereka yang kurang upaya agar menyertai sepenuhnya sebagai anggota masyarakat penting dan penyumbang. Saya menanti untuk berkongsi lebih banyak tentang apa yang boleh kita lakukan bersama di bawah EMP2030 (Pelan Induk Pengupayaan 2030), untuk menjadikan Singapura yang lebih penyayang dan inklusif." - Setiausaha Parlimen Kanan (Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Eric Chua, yang juga pengerusi bersama jawatankuasa panduan EMP2030.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg