Warga Singapura berpeluang menggunakan subsidi pemerintah dan Medisave bagi mendapatkan rawatan bagi kayap atau shingles.
Mulai September 2025, rakyat Singapura dijangka membayar antara $75 hingga $300 bagi setiap 2 dos Shingrix, vaksin kayap, manakala penduduk tetap (PR) di sini pula dijangka perlu membayar sekitar $450 untuk vaksin berkenaan, umum Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, pada 10 Februari.
Mulai 2026 pula, mereka boleh menggunakan MediSave bagi melangsai baki kos vaksin selepas subsidi telah dikenakan, merentasi ketetapan yang sama.
Warga Singapura dan PR yang layak boleh nikmati subsidi ujian kemampuan atau means test sehingga 75 peratus di klinik doktor swasta (GP) Chas, poliklinik dan institusi penjagaan jangka panjang, yang dibiayai Kementerian Kesihatan (MOH).
Warga emas Generasi Perintis dan Generasi Merdeka pula layak mendapat subsidi tambahan jika mereka mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar.
Encik Ong membuat pengumuman demikian semasa pelancaran Pusat Tindak Balas Kecemasan Penyakit Berjangkit (Cider) yang berpangkalan di Sekolah Perubatan Yong Loo Lin Universiti Nasional Singapura (NUS) pada 10 Februari.
Encik Ong berkata: “Terdapat vaksin berkesan secara klinikal terhadap kayap, tetapi harganya tidak murah. Dos penuh, yang terdiri daripada dua dos, berharga sekitar $900.
“Oleh itu, ramai warga emas bertanya sama ada pemerintah boleh memberi subsidi vaksin kayap, atau sekurang-kurangnya dibenarkan menggunakan MediSave mereka untuk membayar bagi vaksin tersebut.”
Encik Ong menambah krisis pandemik pada masa depan adalah realiti yang tidak boleh diabaikan serata dunia dan Singapura, khususnya kerana Singapura merupakan hab penerbangan.
“Sebarang wabak akan tiba ke Singapura dalam masa beberapa minggu bahkan beberapa hari,” katanya.
Justeru, pelancaran Pusat Cider akan menjadi sebahagian langkah Singapura mengukuhkan kesediaannya bagi kecemasan penyakit berjangkit.
Program utama Cider, Sarjana Sains dalam Kecemasan Penyakit Berjangkit, akan ditawarkan mulai Julai 2025 untuk melengkapkan 60 hingga 80 karyawan bagi setiap kohort dengan kemahiran untuk bertindak secara berkesan terhadap penularan wabak.
Cider menyasarkan untuk menjadi inklusif dalam pengambilan pelajar dengan menawarkan biasiswa untuk pelajar dari negara yang berpendapatan pertengahan dan rendah.
Melalui pelbagai latihan, pengajaran dan inisiatif operasi, Cider membolehkan karyawan penjagaan kesihatan menangani wabak penyakit berjangkit dengan daya tahan dan keupayaan tindak balas yang lebih baik.
Pusat itu juga memberi tumpuan kepada mengembangkan kapasiti serantau agar lebih bersedia menghadapi krisis selanjutnya dan gelombang jangkitan Covid-19 pada masa hadapan, dengan visi jangka panjang memupuk kesaksamaan dalam kesihatan global.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg