RESTORAN makanan segera, Subway, kelmarin memulakan inisiatif masyarakat berskala besar pertamanya dengan menderma 10,000 sandwic kepada kakitangan dan relawan di pusat vaksinasi dan ujian Covid-19 di serata negara.
Sandwic itu akan diagihkan ke semua 36 pusat vaksinasi dan 26 pusat ujian serta Pusat Nasional Penyakit Berjangkit (NCID).
Di bawah inisiatif itu, setiap kakitangan dan relawan akan menerima satu sandwic minggu ini dan satu lagi minggu depan sebelum usaha itu berakhir pada 17 Ogos.
Dalam kenyataannya, Subway berkata sandwic itu adalah hasil geran padanan sandwic bagi 10,000 sandwic Rendang pertama yang dijual sejak dilancarkan pada 21 Julai lalu.
"Kakitangan dan relawan di pusat vaksinasi dan ujian serta NCID adalah tunggak usaha pemerintah untuk menguji dan memvaksin semua orang agar kita dapat muncul lebih kuat bersama-sama.
"Selain itu, dengan sekatan makan di luar yang berkuatkuasa kini, kami ingin membawa sandwic ini kepada mereka, sebagai penghargaan di atas semua yang telah mereka lakukan untuk masyarakat," kata Pengarah Negara, Subway, Asia Tenggara, Encik Samad Mohd Shariff.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg