Kumpulan pertama sukarelawan telah dikerah pada 20 Julai dalam usaha pembersihan pantai East Coast bagi memastikan kawasan pantai selamat untuk dibuka kepada orang awam.
Ratusan sukarelawan di bawah Majlis Kebersihan Awam (PHC) bakal terlibat dalam tempoh beberapa minggu akan datang dalam fasa terakhir pembersihan kawasan pantai tersebut.
Sukarelawan bakal membantu menghapuskan ‘bebola tar’ – kepingan kecil minyak yang terkumpul – serta sisa marin lain dari kawasan pantai sepanjang 6,180 meter itu, menurut kenyataan yang dikeluarkan PHC pada 20 Julai.
Usaha pembersihan pantai melibatkan sukarelawan ini telah diterajui PHC, dengan sokongan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA).
Sebelum itu, PHC telah mengadakan beberapa sesi dengan sukarelawan bagi mempersiapkan mereka untuk usaha pembersihan tersebut.
Sesi percubaan awal melibatkan perbincangan mengenai langkah-langkah keselamatan, amalan serta protokol terbaik dan penerangan mengenai penggunaan peralatan secara betul, serta prosedur pembersihan bagi bebola tar serta sisa marin.
Ratusan sukarelawan dijangka terlibat dalam daya utama ini dalam minggu-minggu akan datang – antaranya termasuk anggota masyarakat awam, pihak-pihak berkepentingan, pertubuhan korporat, pertubuhan akar umbi, Kor Belia Singapura.
Ini merupakan fasa terakhir pembersihan kawasan pantai itu susulan kejadian tumpahan minyak pada 14 Jun.
Kejadian tersebut membabitkan perlanggaran kapal dari Belanda, Vox Maxima, dengan kapal tangki minyak, Marine Honor, dari Singapura di Terminal Pasir Panjang di Singapura.
Kejadian tersebut telah menyebabkan beberapa pantai Singapura terpaksa ditutup bagi orang ramai sementara kerja-kerja pembersihan dijalankan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg