SEJAK kecil, semangat menyumbang kembali kepada masyarakat sudah disemai dalam diri Encik Mohd Azuan Tan oleh orang tuanya.
Ibu bapa Encik Azuan memesan beliau bahawa ada sahaja golongan yang lebih memerlukan daripada beliau dan perlu dibantu, tidak kira sekecil mana pun sumbangan itu.
Pelibatan Encik Azuan dalam aktiviti kesukarelawanan contoh yang sejajar dengan tema 'Masyarakat Penyumbang, Perkukuh Negara' yang disebut Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF), Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, semasa perbahasan belanjawan kementeriannya di Parlimen pada Isnin.
Ayah tiga anak berusia 41 tahun itu, yang merupakan seorang guru sekolah menengah, berkata: "Ibu saya, khususnya, selalu mengingatkan saya akan kepentingan menyumbang kembali, walaupun dengan kadar seadanya."
Atas semangat itu, beliau mengorak langkah dalam bidang kesukarelawanan semasa berada di sekolah menengah dengan berjinak-jinak dalam pelbagai aktiviti Program Pelibatan Masyarakat (CIP), di samping pelibatannya dalam pasukan pengakap.
Kepuasan yang dirasainya selepas menabur bakti kepada mereka yang memerlukan "menguatkan lagi perspektif terhadap semangat menyumbang yang diterapkan oleh ibu bapa" beliau.
Lebih daripada sekadar melibatkan diri dalam aktiviti kesukarelawanan sebagai pengerusi M3@Pasir Ris-Punggol, Encik Azuan melihat kesukarelawanan sebagai satu cara untuk "memahami isu-isu dalam masyarakat" kerana dapat melihat isu dengan lebih dekat lagi.
"Lebih-lebih lagi sebagai seorang pendidik, ia juga membolehkan saya untuk melihat cabaran dan kesukaran yang mungkin dihadapi oleh pelajar saya," ujarnya.
Encik Azuan mula menyumbang bakti pada peringkat akar umbi pada 2015 kerana inginkan tumpukan lebih masa sebagai sukarelawan dalam kegiatan lebih tersusun "berbanding melakukan sesuatu aktiviti secara ad hoc".
"Sebagai sukarelawan, anda dapat lihat sebenarnya ramai anggota masyarakat Singapura yang kehidupan mereka lebih susah daripada kehidupan anda," katanya.
Oleh itu, beliau menggesa warga Singapura sama-sama menggembleng tenaga dan giat menyumbang dalam apa jua bidang, memandangkan modal insan di sini adalah aset paling berharga.
"Kita harus bekerjasama antara satu sama lain kerana kita tidak mempunyai sumber lain.
"Berkenaan semangat kesukarelawanan... adalah penting warga Singapura secara amnya menjadi penyumbang aktif, dan salah satu cara paling utama ialah dengan mempunyai pemahaman baik mengenai isu-isu (yang dihadapi masyarakat)," kata Encik Azuan.
Setelah memahami perkara di sebalik sesuatu isu, sebuah matlamat dapat dilakar untuk menyelesaikan atau menangani isu tersebut, dan ini diikuti oleh pelaksanaan tindakan.
"Yang penting ialah perlu ada kemahuan untuk menyumbang tenaga, waktu atau kepakaran kepada inisiatif atau aktiviti sukarelawan.
"Ini kerana jika anda sudah ada kemahuan, dorongan akan menyusul, diikuti pula oleh usaha (untuk bertindak)," tambah Encik Azuan, dengan nada penuh yakin.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg