AKIBAT terkesan dengan pandemik, mereka yang kurang bernasib baik dan anak-anak yatim di Indonesia dan Kemboja bakal dibantu oleh IbadahSg melalui dana yang dikumpulkan.
Menurut pengarah IbadahSg, Ustaz Muhammad Syamil Masruhen, bantuan yang hulurkan adalah untuk membantu mereka yang benar-benar memerlukan sempena Syawal ini.
"Tujuan usaha mengumpul dana kali ini untuk menyantuni dan memberikan hadiah kepada mereka yang dhuafa dan anak-anak yatim untuk persiapan lebaran tahun ini," kata Ustaz Muhammad Syamil.
Kebanyakan mereka merupakan anak-anak yatim yang berusia tiga tahun ke atas, golongan susah yang sudah berumur lebih 60 tahun, ibu tunggal yang miskin, mereka yang hilang pekerjaan, mualaf yang miskin dan mereka yang memerlukan sokongan keperluan asas.
Jelas Ustaz Muhammad Syamil:
"Kumpulan ini perlu diberikan perhatian kerana golongan ini yang paling terjejas kerana kesan Covid19 yang melibatkan faktor ekonomi, faktor kurang bantuan dalam kehidupan harian dan faktor pendidikan."
IbadahSg turut mengendalikan pelbagai program sepanjang Ramadan ini.
Antaranya termasuklah iftar bersama, habuan bahan-bahan asas, program latihan kemahiran, program pembangunan jati diri, program memperkasakan mualaf mandiri.
Ia juga melibatkan program anak-anak yatim dengan santunan dan keperluan asas pembelajaran, program safari dakwah ihsan Ramadan, program berbahagi kurma antara masjid dan pondok pesantren dan mereka yang berpuasa, program iftar di jalanan dan program kerohanian dan memperhalusi bacaan dalam solat.
IbadahSg diasaskan pada 2006 dengan hasrat untuk membantu masyarakat Islam di Singapura menegakkan syariat Allah swt.
Sehingga kini, IbadahSg juga telah menyalurkan bantuan ke seluruh rantau Asia Pasifik seperti Indonesia, Malaysia, Kemboja dan Myanmar (Rohingya).
SUMBANGAN DIHARAP
Sesiapa yang berminat untuk memberi sumbangan, anda boleh hubungi talian Ustaz Muhammad Syamil di 8322-0460, Ustazah Mariah Masruhen di 8339-3012 dan Encik Mohd Noh di 8399-7390.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg