Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sumbangan Presiden Halimah pada negara, rakyat sentiasa disanjung tinggi

Selalu prihatin terhadap nasib wanita dan pekerja, pupuk keharmonian dan inklusiviti
May 30, 2023 | 5:30 AM
BANGUN MASYARAKAT INKLUSIF: Puan Halimah Yacob mengunjungi Persatuan Golongan Kurang Upaya (APSN) untuk meninjau bagaimana golongan yang menghadapi daya intelek lemah dipersiap bagi menghadapi dunia pekerjaan pada 15 September 2017 - acara pertama menyusuli pemilihan beliau selaku Presiden.
BANGUN MASYARAKAT INKLUSIF: Puan Halimah Yacob mengunjungi Persatuan Golongan Kurang Upaya (APSN) untuk meninjau bagaimana golongan yang menghadapi daya intelek lemah dipersiap bagi menghadapi dunia pekerjaan pada 15 September 2017 - acara pertama menyusuli pemilihan beliau selaku Presiden. - Foto: Lianhe Zaobao

ENAM tahun dan satu penggal mungkin bukan masa yang lama, tetapi Puan Halimah Yacob telah mengharungi pelbagai cabaran dengan warga Singapura, dan telah menyumbang banyak kepada landskap sosial termasuk masyarakat Melayu/Islam.

Sebagai presiden Melayu kedua selepas Presiden Yusof Ishak, pelantikan Puan Halimah dialu-alukan masyarakat Melayu/Islam setempat yang banyak kali menoleh kepadanya untuk panduan dan sokongan semasa waktu-waktu mencabar.

Seruan, teguran dan keprihatinan yang diutarakan melalui kiriman-kiriman Facebooknya telah menjadikan Puan Halimah persis seorang ibu yang sangat mengambil berat akan kebajikan anak-anaknya.

Semasa Singapura berada di awal pandemik pada 2020, Puan Halimah antara lain, menyeru agar badan Melayu/Islam setempat memberi tumpuan kepada usaha membantu anggota masyarakat yang terjejas akibat Covid-19.

Beliau bimbang tentang mereka yang dibuang kerja dan berharap badan-badan itu boleh membantu mereka mendapat pekerjaan baru atau menambah kemahiran agar lebih berdaya saing.

Puan Halimah juga menekankan pentingnya memastikan pelajaran anak-anak tidak terjejas walaupun pelbagai cabaran perlu ditempuhi semasa pandemik itu dan menegaskan tentang pentingnya pelajaran prasekolah.

Apabila perniagaan dari rumah (HBB) tidak dibenarkan beroperasi di bawah langkah pemutus rantaian jangkitan yang dipertingkat, Puan Halimah menyatakan sokongannya kepada mereka melalui kiriman di Facebook dan menunjukkan yang HBB memenuhi keperluan penting pada Hari Raya dengan berkata beliau juga membeli kuih Raya daripada HBB setiap tahun.

Beliau berkata perniagaan kecil-kecilan itu termasuk golongan wanita yang perlu menyumbang kepada pendapatan keluarga kerana suami mereka kehilangan kerja atau mengalami potongan gaji akibat Covid-19.

Beliau telah meminta agar Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) mendekati peniaga sedemikian dan membantu mereka.

Kaum perempuan terus mendapat sokongan daripada presiden wanita pertama Singapura itu dalam beberapa kejadian yang berlaku seterusnya.

Apabila terdapat suara-suara yang merendahkan martabat wanita, Puan Halimah tidak teragak-agak menegur mereka secara terbuka menggunakan wadah Facebooknya juga.

Puan Halimah, pada Jun 2020, menggesa kumpulan yang mengendalikan podcast setempat OkLetsGo supaya memohon maaf kepada semua wanita atas komen mereka yang menyinggung, memalukan dan misoginis dalam podcast mereka mengenai golongan hawa.

Ini setelah beliau menerima pelbagai e-mel daripada orang ramai yang prihatin tentang podcast setempat itu, yang telah berulang kali mengutarakan komen seksis dan lucah.

Kumpulan podcast dalam bahasa Melayu dan Inggeris itu meminta maaf sejurus kemudian.

Kejadian itu membuat ramai sedar bahawa Puan Halimah mendengar keluhan warga, prihatin akan golongan yang ditindas, dan adalah seorang ketua yang mengambil tindakan.

Pada hujung 2022, menyusuli laporan beberapa kejadian rogol melibatkan kanak-kanak di rumah mereka sendiri yang dilakukan oleh saudara-mara mereka, Puan Halimah sekali lagi bersuara di Facebook dan menyeru agar semakan undang-undang dilaksanakan berhubung hukuman rotan terhadap perogol yang berusia lebih 50 tahun.

Menyifatkan kes-kes itu sebagai ‘sangat membimbangkan dan meloyakan’, Puan Halimah berkata terdapat keperluan bagi melindungi kanak-kanak dengan lebih baik daripada pemangsa seksual.

Sokongannya terhadap golongan kurang upaya sangat jelas dilihat.

Dalam acara pertama menyusuli pemilihan beliau selaku Presiden pada 2017, Puan Halimah telah mengunjungi Persatuan Golongan Kurang Upaya (APSN) untuk meninjau bagaimana golongan yang menghadapi daya intelek lemah dipersiap bagi menghadapi dunia pekerjaan.

Semasa kunjungan itu, beliau diberitahu bahawa persatuan itu agak sukar mendapatkan latihan amali buat pelajar mereka.

Beliau kemudian berbincang dengan kakitangan di Istana untuk menerima beberapa pelajar APSN menjalani latihan amali di sana.

Puan Halimah telah meluahkan harapan agar lebih banyak majikan akan tampil dan menawarkan latihan amali untuk pelajar sedemikian.

Selain itu, sepanjang penggalnya, Cabaran Presiden memberi tumpuan kepada memperkasakan orang kurang upaya, membina masyarakat inklusif secara digital dan menyokong penjaga, antara lain.

Beliau ingin melihat lebih ramai majikan mengamalkan pengambilan pekerja secara inklusif dan membantu mereka yang kurang upaya berintegrasi dengan lebih baik dalam masyarakat.

Puan Halimah juga menunjukkan beliau berani dan bijak membuat keputusan yang menjejas rakyat pada skala lebih luas.

Semasa pandemik Covid-19, Puan Halimah meluluskan untuk pemerintah mengambil daripada rizab yang lalu – $52 bilion pada tahun kewangan 2020, $11 bilion pada tahun kewangan 2021 dan $6 bilion pada tahun kewangan 2022. Langkah itu tidak diperlukan bagi tahun kewangan 2023.

Puan Halimah berkata bahawa rizab yang lalu telah memainkan peranan penting dalam menyediakan sokongan kritikal kepada warga Singapura dan perniagaan.

Ia telah membolehkan pekerjaan diselamatkan dan mengelakkan gangguan yang teruk kepada keluarga.

“Sebahagian besar daripada rizab lalu yang telah dikeluarkan, telah digunakan untuk menyelamatkan nyawa dengan meningkatkan kemudahan dan perkhidmatan perubatan serta pembelian vaksin untuk menentang serangan Covid-19.

“Dalam hal ini, kita lihat rizab lalu digunakan bukan hanya untuk generasi akan datang, malah untuk generasi sekarang yang telah membantu dalam mengembangkan rizab itu,” kata Puan Halimah dalam satu kiriman Facebook pada Mac 2023.

Sebagai Presiden, beliau telah melakukan lawatan rasmi ke pelbagai negara, termasuk Malaysia, China dan Korea Selatan, dengan tujuan mengeratkan hubungan dua hala.

Baru-baru ini, beliau telah ke Kazakhstan dan Uzbekistan bagi satu lawatan negara – yang pertama oleh seorang Presiden Singapura ke Asia Tengah, membuka jalan bagi kerjasama dan peluang dalam pasaran negara-negara itu.

Puan Halimah juga telah mengadakan lawatan negara pertama Singapura ke Arab Saudi pada November 2019, di mana antara lain beliau mengunjungi beberapa tempat bersejarah seperti Masjid Nabawi di Madinah serta Masjidil Haram di Makkah.

Tempoh jawatan Presiden Halimah Yacob akan diingati kerana cara beliau yang bersuara demi kesejahteraan rakyat, kesungguhannya memperjuangkan keharmonian silang agama, dan keinginannya melihat keterangkuman dengan membuka Istana kepada semua. Berikut kami senaraikan lima perkara yang unik tentang Puan Halimah sebagai Presiden.

  1. Yang pertama: Beliau Presiden wanita pertama Singapura dan Presiden pertama yang dipilih dalam Pilihan Raya Presiden yang diperuntuk.
  2. Isu sosial: Beliau memperjuangkan pelbagai isu seperti kesaksamaan jantina dan melindungi pekerja yang lebih tua, memperkasa golongan kurang upaya dan menyokong pengasuh.
  3. Buka Istana: Beliau mahu menjadikan Istana lebih mudah dimasuki warga Singapura biasa. Beliau mahu meneroka cara menjemput lebih ramai benefisiari dan kumpulan pelbagai pertubuhan perkhidmatan sosial pada lebih banyak hari dalam setahun. 
  4. Keharmonian silang agama: Beliau mencadangkan penganjuran Persidangan Antarabangsa Mengenai Masyarakat Bersatu Padu (ICCS) sebagai acara utama untuk dialog silang agama dan berbilang budaya. Ia diadakan buat kali pertama pada 2019 dan mempamerkan pendekatan unik Singapura dalam menguruskan hubungan di kalangan penduduk yang pelbagai. 
  5. Sektor sosial: Sepanjang penggalnya, Cabaran Presiden memberi tumpuan kepada memperkasakan orang kurang upaya, membina masyarakat inklusif secara digital dan menyokong penjaga, antara lain.

“Puan Halimah adalah seseorang yang prihatin dan penyayang kepada semua orang terutama sekali golongan yang kurang bernasib, yang kurang upaya. Beliau juga prihatin dan penyayang kepada penjaga. Beliau amat memahami isu dan cabaran yang dihadapi golongan ini. Beliau juga adalah seorang Presiden yang penuh empati. Beliau tidak sekadar berkata-kata tetapi juga mengambil tindakan melalui cara yang praktikal. Puan Halimah telah menjadi penyokong bagi kesihatan mental untuk masa yang lama sejak beliau belum menjadi Presiden. Apabila beliau menjadi Presiden, di bawah Cabaran Presiden, Kelab Heal menerima pembiayaan bagi dua program yang kami jalankan.”
Presiden Kelab Heal, Dr Radiah Salim.

“Sepanjang 33 tahun perkhidmatan beliau dengan Gerakan Buruh dan semasa tempoh perkhidmatan semasa, Puan Halimah secara konsisten menjadi penyokong tegar pekerja kami. Semasa menyandang jawatan di NTUC, Puan Halimah menunjukkan belas kasihan yang luar biasa kepada semua pekerja, terutamanya mereka yang mudah terjejas. Pemimpin kesatuan sekerja dan pekerja sama-sama telah berkongsi banyak kisah tentang keprihatinan tulus Puan Halimah terhadap orang ramai, sentiasa bersedia membantu mereka yang memerlukan. Dalam pelbagai peranannya dalam NTUC, beliau secara peribadi memperjuangkan program dan inisiatif yang membuat perubahan ketara dalam kehidupan pekerja, terutamanya wanita dan mereka yang berpendapatan rendah.”
Setiausaha Agung NTUC, Encik Ng Chee Meng.
Ng Chee Meng
Ng Chee Meng - Singapore Press Holdings Ltd

“Dalam interaksi saya secara peribadi bersama Puan Halimah, saya rasa beliau contoh teladan bukan saja untuk masyarakat Melayu/Islam, tetapi untuk semua di Singapura. Beliau lakukan sedaya-upaya untuk menyatukan warga Singapura, tanpa mengira bangsa atau agama. Saya rasa ini adalah sesuatu yang generasi akan datang dapat meraih sumber inspirasi. Salah satu tumpuan utama semasa tempoh beliau menyandang Presiden adalah Persidangan Antarabangsa Mengenai Masyarakat Bersatu Padu (ICCS). Ia sesuatu yang tidak pernah dilakukan, di mana ia menghimpunkan lebih 2,000 peserta seluruh dunia untuk mengetengahkan pencapaian sejauh ini di Singapura dan juga peluang bagi kami belajar dari yang lain mengenai amalan terbaik untuk membina masyarakat Singapura yang lebih bersatu padu.”
Pengasas dan presiden Roses of Peace (ROP), Encik Mohamed Irshad Abbas Ali.
Irshad Abbas Ali
Irshad Abbas Ali - Berita Harian
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg