NEW YORK: Jabatan Perdagangan Amerika Syarikat sedang memeriksa sama ada DeepSeek – syarikat China yang prestasi model kecerdasan buatannya(AI) menggegarkan dunia teknologi – menggunakan cip Amerika yang tidak dibenarkan dihantar ke China, kata seseorang yang tahu mengenai perkara itu.
DeepSeek melancarkan wadah aplikasi itu minggu lalu dan mengatakan ia menggunakan kurang data pada kos yang jauh lebih rendah daripada model-model dari Amerika.
Dalam beberapa hari, ia menjadi aplikasi paling banyak dimuat turun di App Store Apple, dan menimbulkan kebimbangan tentang kedudukan Amerika dalam AI, mencetuskan kejatuhan harga saham yang menghapuskan kira-kira AS$1 trilion ($1.35 trilion) nilai saham teknologi Amerika.
Sekatan semasa ke atas pemproses Nvidia AI bertujuan menghentikan cip paling canggihnya sampai ke China.
Penyeludupan cip AI ke China telah dikesan keluar dari negara yang termasuk Malaysia, Singapura dan Amiriah Arab Bersatu (UAE), kata sumber itu.
Jabatan Perdagangan dan DeepSeek tidak segera menjawab permintaan untuk mengulas.
Jurucakap Nvidia berkata pendapatannya dari Singapura – yang menyumbang kira-kira 20 peratus daripada jumlah jualannya – tidak mencadangkan sebarang lencongan ke China, menurut laporan dalam Investing.com pada 29 November.
Pemfailan awam Nvidia melaporkan lokasi “bil kepada” pelanggan mereka, bukan lokasi “penghantaran”. Ini menunjukkan angka pendapatan syarikat itu berdasarkan lokasi pelanggan mereka dibil, bukan lokasi akhir produk dihantar, kata jurucakap itu.
Jurucakap itu menambah bahawa ramai pelanggan Nvidia mempunyai entiti perniagaan di Singapura, yang mereka gunakan untuk produk yang ditujukan ke Amerika dan negara Barat, lapor The Straits Times.
Amalan itu perkara biasa dalam kalangan syarikat beroperasi di beberapa negara dan tidak semestinya menunjukkan produk tersebut dihantar ke Singapura.
Nvidia juga berkata ia telah menegaskan kepada rakan kongsi perniagaannya supaya mematuhi semua undang-undang berkaitan dan akan mengambil tindakan sewajarnya jika ia menerima sebarang maklumat yang mencadangkan sebaliknya.
DeepSeek berkata ia menggunakan cip H800 Nvidia, yang boleh dibeli secara sah pada 2023. Reuters tidak dapat menentukan sama ada DeepSeek menggunakan cip terkawal lain yang tidak dibenarkan dihantar ke China.
DeepSeek juga nampaknya mempunyai cip H20 Nvidia yang kurang berkuasa, yang masih boleh dihantar secara sah ke China. Amerika mempertimbangkan untuk mengawalnya di bawah pentadbiran Biden dan pegawai Presiden Donald Trump yang baru dilantik turut membincangkannya.
Ketua Pegawai Eksekutif syarikat AI Anthropic, Encik Dario Amodei, berkata awal minggu ini “nampaknya sebahagian besar kumpulan cip AI DeepSeek terdiri daripada cip yang belum diharamkan (tetapi sepatutnya diharamkan), cip yang dihantar sebelum ia diharamkan; dan beberapa cip yang kelihatan sangat mungkin telah diseludup”.
Dua penggubal undang-undang Amerika, yang menggesa pentadbiran Trump supaya mengehadkan eksport cip Nvidia H20 dan cip serupa, turut mendesak penguatkuasaan kawalan lebih ketat ke atas penghantaran melalui negara ketiga yang berisiko tinggi bagi penyelewengan, dengan menyebut Singapura sebagai contoh. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg