Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sun Xueling: Mekanisme akan diperkenal, pastikan struktur korporat tidak disalah guna

Jul 2, 2024 | 5:40 PM
Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri), Cik Sun Xueling, menyatakan semasa sidang Parlimen pada 2 Julai bahawa Jawatankuasa Silang Kementerian (IMC) sedang melakar mekanisme untuk memastikan struktur korporat di Singapura tidak disalahgunakan bagi tujuan mengubah wang haram.
Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri), Cik Sun Xueling, menyatakan semasa sidang Parlimen pada 2 Julai bahawa Jawatankuasa Silang Kementerian (IMC) sedang melakar mekanisme untuk memastikan struktur korporat di Singapura tidak disalahgunakan bagi tujuan mengubah wang haram. - Foto fail

Jawatankuasa Antara Kementerian (IMC) sedang melakar mekanisme bagi memastikan struktur korporat di Singapura tidak disalahgunakan bagi tujuan mengubah wang haram, kata Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri), Cik Sun Xueling.

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada soalan yang diajukan oleh Ketua Pembangkang, Encik Pritam Singh, semasa sidang Parlimen pada 2 Julai.

Encik Pritam mengajukan soalan sekiranya IMC – yang ditubuhkan pada penghujung 2023 untuk mengkaji rejim antipengubahan wang haram – akan menyemak tuntunan dan pilih atur yang menyifatkan Singapura berpotensi menjadi ‘hab’ pengubahan wang.

Ini susulan skandal pengubahan wang haram terbesar di sini melibatkan sekumpulan penjenayah dari China, yang mengubah wang haram bernilai lebih $3 bilion daripada kegiatan judi dalam talian dan meletakkan wang mereka di sekitar 16 institusi kewangan di Singapura.

Cik Sun berkata: “IMC sedang bekerja keras untuk memastikan struktur korporat di Singapura tidak disalahgunakan oleh pengubah wang haram.

“Pemerintah juga sedang bekerja rapat dengan institusi kewangan bagi memastikan institusi ini mempertingkatkan kawal selia – mereka memeriksa latar belakang pelanggan dan kenal pasti sumber dana pelanggan.”

Beliau menyatakan hasil semakan IMC tersebut, yang akan dibentangkan menjelang suku keempat 2024, akan berteraskan empat tunjang iaitu:

– perkara yang boleh dilakukan untuk mencegah struktur korporat daripada disalah guna pengubah wang haram;

– bagaimana institusi kewangan boleh meningkatkan kawalan mereka dan bekerjasama dengan lebih berkesan antara satu sama lain;

– bagaimana pihak berkepentingan lain yang melibatkan ejen hartanah dan peguam misalnya, boleh berjaga-jaga terhadap risiko pengubahan wang haram; dan

– bagaimana pemerintah dapat mengukuhkan keupayaan pemantauan dan kepekaan untuk mengesan kegiatan yang mencurigakan dengan lebih baik.

“Pengubah wang haram, apabila mereka lihat pendekatan menyeluruh masyarakat dan pemerintah terhadap pengubahan wang haram, golongan ini akan menilai sama ada ia berbaloi untuk meneruskan aktiviti (pengubahan wang) kerana risiko ditangkap adalah tinggi,” tambah Cik Sun.

Sementara itu, beliau menjelaskan warga asing yang disabit kesalahan boleh memilih negara yang ingin dihantar pulang.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Cik Sylvia Lim (GRC Aljunied) daripada Parti Pekerja (WP).

Cik Sylvia bertanya apakah faktor yang diambil kira ketika memutuskan negara mana untuk menghantar pulang warga asing yang disabit kesalahan di sini selepas mereka tamat hukuman dan bagaimana pertimbangan sedemikian diguna pakai terhadap 10 individu yang disabit bersangkutan pengubahan wang haram bernilai lebih $3 bilion.

Dalam kes ini, warga asing sedemikian dihantar pulang “ke mana-mana negara yang dibenarkan pasport atau dokumen perjalanan mereka”, ujar Cik Sun.

Beliau menambah lapan daripada sepuluh individu terbabit telah dihantar pulang – tujuh telah dihantar ke Kemboja, manakala satu telah dihantar ke Jepun.

Namun demikian, beliau menegaskan sungguhpun pesalah warga asing dapat memilih negara tujuan, ia masih bergantung kepada penilaian pihak kementerian.

“Ia bukan sekadar, ‘Saya telah pilih, jadi saya akan hantar ke negara itu.’

“Perlu ada penilaian oleh kementerian untuk melihat sama ada individu tersebut dibenarkan kemasukan ke dalam negara berdasarkan dokumen perjalanan yang dipegang individu terbabit,” tambahnya.

“IMC sedang bekerja keras untuk memastikan struktur korporat di Singapura tidak disalahgunakan oleh pengubah wang haram. Pemerintah juga sedang bekerja rapat dengan institusi kewangan bagi memastikan institusi ini mempertingkatkan kawal selia – mereka memeriksa latar belakang pelanggan dan kenal pasti sumber dana pelanggan.”
Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri), Cik Sun Xueling.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg