Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Suntikan antibiotik alternatif selamat untuk pesakit katarak di S’pura yang alah penisilin

Kajian oleh Institut Mata NHG dapati ‘levofloxacin’ selamat untuk disuntik ke dalam mata, bukan hanya disembur di permukaan
Dec 24, 2025 | 12:50 PM
pesara, Akubal Singh Lal Singh, kajian, oftalmologi , Koh Yan Tong, antibiotik, katarak, Institut Mata, Kumpulan Kesihatan Nasional (NHG)
Seorang pesara Encik Akubal Singh Lal Singh, 78 tahun, merupakan sebahagian daripada kajian yang diketuai pakar oftalmologi Kumpulan Kesihatan Nasional (NHG), Cik Koh Yan Tong (kanan). - Foto ST

Pesakit mata yang alah kepada penisilin kini boleh menerima suntikan antibiotik alternatif terus ke dalam mata semasa pembedahan katarak, satu langkah penting untuk mencegah jangkitan.

Sebelum ini, levofloxacin, sejenis antibiotik fluorokuinolon (daripada kumpulan antibiotik sintetik dengan spektrum luas yang digunakan untuk merawat jangkitan bakteria yang serius) dan memerlukan preskripsi doktor, hanya disembur di permukaan mata.

Ini kerana keraguan doktor tentang keselamatan suntikan ubat itu ke dalam mata, lapor The Straits Times (ST).

Namun, satu kajian terkini melibatkan 50 pesakit katarak menunjukkan bahawa suntikan levofloxacin setanding keberkesanannya dengan cefazolin, antibiotik yang digunakan kini. 

Cefazolin, daripada kumpulan antibiotik sefalosporin, tidak sesuai untuk pesakit alah penisilin kerana struktur kedua-dua ubat itu serupa.

Dalam kajian perintis itu, penyelidik daripada Institut Mata Kumpulan Kesihatan Nasional (NHG), menyuntik cefazolin kepada separuh daripada 50 pesakit tersebut, manakala separuh lagi menerima suntikan levofloxacin

Kajian buta duaan (double-blind) terkawal rawak ini dijalankan di Pusat Spesialis Ang Mo Kio dari Jun 2022 hingga Februari 2024, melibatkan pesakit yang menjalani pembedahan katarak yang berusia 50 hingga 80 tahun.

Penulis utama kajian itu, Dr Koh Yan Tong, seorang pakar oftalmologi daripada Hospital Tan Tock Seng (TTSH), berkata walaupun pakar bedah mata di Singapura lazimnya menyembur levofloxacin luaran untuk pesakit alah penisilin, pengalaman pakar bedah Malaysia dan kajian dari Filipina telah menunjukkan kejayaan apabila ubat itu disuntik terus ke dalam ruang mata.

Dapatan kajian menunjukkan kedua-dua kumpulan itu mencatat tahap keselamatan setara, membuktikan bahawa antibiotik alternatif itu bukan sahaja berkesan seperti rawatan standard, tetapi juga selamat untuk pesakit yang alah penisilin.

Dr Koh, yang merupakan ketua oftalmologi pediatrik dan rawatan strabismus atau mata juling, serta timbalan ketua perkhidmatan penjagaan mata asas di Institut Mata NHG, menjelaskan bahawa tiada seorang pun subjek kajian tersebut yang mempunyai alahan terhadap penisilin.

Ini bagi memastikan kajian itu dapat dilaksanakan kerana cefazolin tidak sesuai bagi mereka yang mempunyai alahan tersebut.

Biasanya, dos kecil antibiotik itu disuntik ke dalam mata setelah katarak dikeluarkan dan kanta tiruan dipasang secara kekal.

Langkah ini penting untuk mencegah endoftalmitis selepas pembedahan, iaitu jangkitan dan keradangan serius di dalam mata yang menjejaskan tisu dan cecair dalaman.

Walaupun jarang berlaku, jangkitan ini merupakan kerumitan yang paling ditakuti dalam pembedahan katarak, kata Dr Koh.

Menurut kajian terdahulu, pesakit yang tidak menerima suntikan antibiotik selepas pembedahan mempunyai risiko endoftalmitis kira-kira lima kali ganda lebih tinggi.

Dr Koh berkata hanya 39 peratus pesakit pulih dengan ketajaman penglihatan (VA) melebihi 20/400, walaupun menerima rawatan yang sesuai.

VA 20/400 merujuk kepada keupayaan membaca huruf ‘E’ terbesar di bahagian atas carta penglihatan.

Kajian itu mendapati tiada kes endoftalmitis dalam kedua-dua kumpulan tersebut, dan hasil rawatan adalah setanding. 

Kajian itu, yang dibiayai sebanyak $100,000 oleh Santen, syarikat farmaseutikal Jepun yang membuat levofloxacin, diterbitkan dalam jurnal Scientific Reports pada 2 Oktober.

Seorang peserta kajian itu, Encik Akubal Singh Lal Singh, 78 tahun, seorang pesara, pernah menjalani pembedahan katarak pada mata kirinya pada 2019, dan menyertai kajian itu bagi pembedahan pada mata kanannya. 

Beliau berkata dengan suntikan levofloxacin ke dalam mata kanannya, beliau “tidak merasakan perbezaan daripada pembedahan sebelumnya”.

Katarak lazim dalam kalangan warga emas di Singapura, dengan hampir 95 peratus terjejas menjelang usia 75 tahun. 

Dengan penduduk yang semakin menua, kes katarak dijangka meningkat kepada 1.3 juta menjelang 2040.

Menurut Dr Koh, sembilan daripada 10 warga Singapura yang mempunyai alahan ubat adalah alah kepada penisilin atau amoksisilin, antibiotik preskripsi daripada jenis penisilin.

Dr Koh berkata antibiotik alternatif ini menawarkan pilihan selamat bagi pesakit yang alah kepada penisilin, sambil mengurangkan risiko jangkitan selepas pembedahan.

Beliau menambah, kajian lanjut yang melibatkan lebih ramai pesakit dan pelbagai pusat diperlukan bagi mengesahkan hasil kajian ini, dan berharap ia dapat menjadi piawaian rawatan, bermula di Institut Mata NHG.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg