INDIVIDU yang mengambil suntikan vaksin Covid-19, Pfizer-BioNTech/Comirnaty, kini boleh mendapatkan suntikan kedua dalam masa tiga minggu dan bukan lagi empat minggu, sejajar dengan tempoh selang yang diusulkan pengeluar vaksin.
Langkah ini diambil sedang Singapura mempertingkatkan program vaksinasinya agar mencapai matlamat memberikan dua suntikan vaksin penuh kepada dua pertiga penduduknya menjelang Hari Kebangsaan pada 9 Ogos.
Perubahan terkini ini tidak menjejas mereka yang mengambil suntikan vaksin Moderna kerana tempoh selang bagi vaksin ini adalah empat minggu.
Kementerian Kesihatan (MOH) memberitahu akhbar The Straits Times tempoh selang yang dipendekkan bagi vaksin Pfizer-BioNTech/Comirnaty ini bermula pada Jumaat (9 Julai).
"Kami telah lebih menyingkatkan tempoh selang minimum antara suntikan pertama dengan kedua vaksin Pfizer-BioNTech/Comirnaty ini...justeru, lebih ramai penduduk kita dapat menjalani vaksinasi penuh dan dilindungi lebih awal lagi," kata MOH.
Semua individu yang layak dan membuat janji temu vaksinasi mereka mulai Jumaat akan dapat menjadualkan janji temu suntikan pertama dan kedua mereka dalam selang tiga minggu bagi vaksin Pfizer-BioNTech/Comirnaty ini.
Orang ramai dengan janji temu yang mempunyai tempoh selang melebihi tiga minggu termasuk mereka yang sudah menerima suntikan pertama vaksin Pfizer-BioNTech/Comirnaty, boleh mempercepatkan janji temu suntikan kedua mereka.
Mereka boleh berbuat demikian dengan menggunakan pautan tempahan peribadi dalam kiriman SMS yang telah mereka terima lebih awal. Mereka yang tidak memiliki pautan tempahan asal boleh menghubungi talian hotline 1800-333-9999 bagi mendapatkan bantuan.
Ini adalah kali kedua dalam masa dua minggu di mana MOH memendekkan tempoh selang antara dua suntikan.
Pada 29 Julai, mereka yang dibenarkan untuk hanya menempah suntikan kedua vaksin Covid-19 enam hingga lapan minggu selepas suntikan pertama berpeluang memendekkan tempoh selang itu kepada empat minggu.
Pada Mei, pihak berkuasa telah memanjangkan tempoh selang antara dua dos bagi memberi keutamaan memberi suntikan pertama buat penduduk dan memberi sekurang-kurangnya sedikit perlindungan kepada seberapa ramai penduduk yang boleh.
Mereka yang mempercepatkan janji temu mereka kemudian mengatakan mereka mahu menikmati manfaat yang diberikan kepada individu yang sudah menjalani vaksinasi.
Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, pada Rabu berkata Singapura kini menjalankan vaksinasi ke atas 76,000 individu sehari tetapi mempunyai keupayaan menyuntik hingga 80,000 orang setiap hari.
Menurutnya, Singapura tidak lagi terbatas oleh bekalan vaksin dan menggesa orang ramai agar mempercepatkan suntikan kedua.
Encik Ong menambah, sekitar 131,000 orang telah mempercepatkan suntikan kedua mereka dengan lagi 200,000 orang masih belum berbuat demikian.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg