SUNTIKAN penggalak akan ditawarkan kepada kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun pada suku keempat tahun ini sedang Singapura bersiap sedia menjangkakan kemungkinan satu lagi gelombang Covid-19 menjelang hujung tahun ini.
Pada masa yang sama, keputusan berhubung saranan vaksinasi bagi kanak-kanak berumur enam bulan hingga lima tahun juga akan diumumkan tidak lama lagi.
Ini menyusuli langkah Penguasa Sains Kesihatan (HSA) yang memberi pengesahan bagi vaksin Covid-19 Spikevax Moderna bagi golongan itu, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) semalam.
Jawatankuasa Pakar Mengenai Vaksinasi Covid-19 (EC19V) kini menyarankan agar kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun mendapatkan satu suntikan penggalak vaksin Pfizer-BioNTech/Comirnaty, mulai lima bulan selepas dos kedua siri vaksinasi utama mereka.
MOH sedang mempersiap untuk memulakan menawarkan suntikan penggalak bagi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun itu pada suku keempat tahun ini, ketika peperiksaan bagi murid sekolah rendah hendak berakhir atau sudah selesai.
Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, berkata pemerintah akan menubuhkan lima pusat vaksinasi yang khusus di serata negara untuk memberi suntikan penggalak kepada kanak-kanak ini.
Butiran lanjut akan diumumkan kemudian.
Semasa sidang media Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian (MTF) bagi Covid-19 semalam, Encik Ong berkata MOH memaklumkan hal ini awal disebabkan keprihatinan dalam kalangan ibu bapa.
Menurut kajian melibatkan 6,000 kanak-kanak, tiada di antara mereka mengalami miokarditis, atau keradangan otot jantung, selepas divaksinasi dan kadar mereka yang mengalami reaksi yang serius juga amat rendah, ujar Encik Ong.
Sementara kanak-kanak lebih kecil rata-ratanya menghadapi risiko lebih rendah mengalami sakit teruk apabila dijangkiti Covid-19, beliau menarik perhatian bahawa terdapat beberapa kanak-kanak berumur bawah lima tahun yang sakit serius selepas dijangkiti virus itu.
Malah, dua anak kecil telah meninggal dunia akibat Covid-19 baru-baru ini.
Raisya Ufairah Mohammed Ashraff, empat tahun, meninggal dunia pada hari yang sama dia disahkan menghidap Covid-19 bulan lalu manakala seorang budak lelaki berumur 18 bulan, Zaheer Raees Ali Basharath Ali, meninggal dunia selepas mengalami komplikasi akibat Covid-19 pada 27 Jun lalu.
Sekiranya vaksin Moderna diluluskan bagi kanak-kanak yang berumur enam bulan hingga lima tahun, Encik Ong berkata ia akan mula ditawarkan pada masa yang sama suntikan penggalak bagi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun mula ditawarkan, di pusat vaksinasi yang sama supaya mudah bagi ibu bapa.
"Sekiranya semua berjalan lancar, kiriman vaksin ini akan tiba di sini pada suku keempat tahun ini," ujar beliau.
Menerusi satu kenyataan yang berasingan, HSA berkata vaksin Spikevax Moderna telah diluluskan bagi kanak-kanak berumur enam bulan hingga 17 tahun.
Kanak-kanak berumur enam bulan hingga lima tahun akan menerima dua dos sebanyak 25 mikrogram setiap satu manakala mereka yang berusia enam hingga 11 tahun akan diberi dua dos sebanyak 50 mikrogram setiap satu.
Mereka yang berusia 12 hingga 17 tahun pula akan menerima dua dos sebanyak 100 mikrogram setiap satu.
Encik Ong berkata MOH juga sedang mempertimbang vaksin Pfizer-BioNTech bagi bayi dan kanak-kanak kecil.
Ini merupakan vaksin tiga dos, dengan dos kedua diberi 21 hari selepas yang pertama sementara dos ketiga diberi lapan minggu selepas yang kedua.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg