Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Suntikan selesema tersedia di 3 farmasi runcit mulai 28 Okt

Sebahagian daripada usaha luaskan akses vaksin influenza dalam masyarakat
Oct 28, 2024 | 3:01 PM
Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, menerima suntikan vaksin di farmasi Unity dalam pasar raya FairPrice Xtra di Parkway Parade pada 28 Oktober.
Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, menerima suntikan vaksin di farmasi Unity dalam pasar raya FairPrice Xtra di Parkway Parade pada 28 Oktober. - Foto ST

Mulai 28 Oktober, orang ramai boleh mendapatkan suntikan selesema tahunan mereka di tiga farmasi runcit, sebagai sebahagian daripada percubaan untuk meluaskan akses vaksin influenza dalam komuniti.

Vaksinasi itu boleh didapatkan di tiga farmasi – Guardian di NEX, Unity di Parkway Parade dan Watsons di Paragon, kata Kementerian Kesihatan (MOH) pada 28 Oktober.

Farmasi runcit yang terpilih telah diteliti untuk memastikan ia memenuhi keperluan MOH untuk persekitaran yang selamat dan kondusif untuk khidmat vaksinasi. 

Hanya ahli farmasi berdaftar yang telah menamatkan latihan dibenarkan memberi suntikan selesema di farmasi yang terpilih itu, lapor The Straits Times.

Mereka yang menerima vaksin akan dipantau selama 15 minit selepas suntikan. Protokol juga disediakan kepada ahli farmasi mengurus dan memberi nasihat tentang kemungkinan kesan sampingan.

MOH berkata langkah mendapatkan suntikan selesema tahunan dapat mengurangkan risiko komplikasi serius disebabkan oleh penyakit influenza, terutama bagi warga emas dan mereka yang mudah dijangkiti penyakit.

Suntikan tersebut juga boleh didapati di klinik am (GP) dan poliklinik.

MOH menasihatkan bahawa mereka yang mempunyai GP biasa, termasuk mereka yang telah mendaftar di SG Lebih Sihat, digalakkan mendapatkan suntikan mereka dengan pemberi penjagaan utama mereka untuk memastikan kesinambungan penjagaan.

Dalam tempoh tiga hingga enam bulan akan datang, MOH akan memantau pengambilan vaksin dan maklum balas mengenai inisiatif tersebut. 

Kira-kira 200 orang dijangka mendapat vaksin sebagai sebahagian daripada fasa awal percubaan ini.

Vaksinasi tersedia kepada mereka yang berumur 18 tahun ke atas, kecuali mereka yang mempunyai keadaan tertentu, seperti sejarah sawan atau reaksi serius selepas vaksinasi, serta sejarah Sindrom Guillain-Barre.

Wanita hamil dan mereka yang mengalami demam atau jangkitan pernafasan juga tidak boleh mendapatkan vaksin.

MOH berkata bahawa rakyat Singapura yang layak mendapat vaksin selesema di farmasi terpilih akan menerima subsidi pemerintah yang sama seperti yang mereka terima di klinik GP yang menawarkan Skim Bantuan Kesihatan Masyarakat (Chas).

Guardian kini mempunyai empat ahli farmasi yang layak menyediakan vaksin, manakala Watsons mempunyai tiga dan Unity satu.

Suntikan selesema Unity berharga $30, manakala vaksin pada dua farmasi lain berharga $35.

Walaupun Watsons dan Unity menerima pelanggan walk-in untuk vaksin, ketiga-tiga farmasi menasihatkan pelanggan supaya membuat temu janji dalam talian di laman web masing-masing untuk mendapatkan suntikan.

Inisiatif itu dilancarkan pada 28 Oktober semasa acara di farmasi Unity Parkway Parade, oleh Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, yang turut menerima suntikan selesema pada hari yang sama.

Encik Ong menegaskan bahawa di negara lain, ia merupakan perkara biasa bagi orang ramai untuk menerima vaksinasi mereka di farmasi.

Beliau menyatakan bahawa walaupun kadar vaksin influenza di sini telah meningkat, hanya kira-kira 40 peratus daripada mereka yang berumur 65 tahun dan ke atas yang lebih terdedah mendapat suntikan.

Memudahkan mereka untuk mendapatkan suntikan akan membantu meningkatkan kadar vaksinasi di kalangan warga emas dan mengurangkan risiko mereka jatuh sakit, kata Encik Ong. Beliau juga menambah ia dapat mengurangkan beban hospital apabila penduduk Singapura kian menua.

Data daripada MOH menunjukkan bagi minggu berakhir pada 19 Oktober, poliklinik di sini mencatatkan purata harian 2,457 pesakit untuk jangkitan saluran pernafasan atas akut, termasuk influenza.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg