Suntikan tambahan $400j beri warga emas jaminan tampung kos jagaan jangka panjang
Suntikan tambahan $400j beri warga emas jaminan tampung kos jagaan jangka panjang
Turut umum sokongan persaraan lebih kukuh bagi warga emas
Tambahan $400 juta akan disuntik kepada Dana Sokongan Penjagaan Jangka Panjang untuk membiayai subsidi bagi kenaikan premium CareShield Hayat, sekali gus memberi warga emas jaminan yang lebih baik terhadap kos penjagaan jangka panjang.
Demikian diumumkan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, semasa menyampaikan Belanjawan 2026 di Parlimen pada 12 Februari.
Encik Wong berkata sedang masyarakat menjadi lebih berusia, sokongan akan diberikan kepada warga emas agar mereka boleh menua secara bermaruah dan dengan ketenangan fikiran.
Sebelum ini diumumkan bahawa pemberian bayaran tunai bulanan di bawah skim insurans nasional, CareShield Hayat, akan ditingkatkan bagi membantu penduduk Singapura yang mengalami kecacatan teruk bagi menampung kos penjagaan jangka panjang yang kian meningkat dengan pesat.
Kadar pertumbuhan bayaran itu akan naik daripada 2 peratus setahun kepada 4 peratus setahun dari 2026 hingga 2030.
Suntikan tambahan $400 juta tersebut akan membiayai subsidi tambahan bagi mengurangkan kesan premium yang lebih tinggi itu.
Di samping itu, Encik Wong turut mengumumkan sokongan persaraan yang lebih kukuh bagi warga emas.
Ini termasuk tokokan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) hingga $1,500 bagi warga Singapura yang berumur 50 tahun ke atas dan simpanan persaraan CPF mereka berada di bawah Jumlah Persaraan Asas (BRS).
Untuk layak menerima tokokan itu, BRS pencarum perlu berada di bawah $110,200; tidak memiliki lebih daripada satu hartanah; dan sedang menetap di rumah yang nilai tahunannya (AV) tidak melebihi $31,000.
Mereka yang mempunyai simpanan lebih kecil akan menerima lebih banyak tokokan, ujar Encik Wong.
Bagi mereka yang tinggal di kediaman dengan AV tidak lebih daripada $21,000, mereka akan menerima tokokan maksimum sebanyak $1,500 jika simpanan persaraan CPF mereka kurang daripada $60,000.
Jika tidak, mereka akan menerima tokokan $1,000.
Bagi mereka yang tinggal di kediaman dengan AV lebih daripada $21,000 tetapi tidak melebihi $31,000, mereka akan menerima tokokan $500.
Tokokan tersebut bertujuan menyediakan sokongan tambahan bagi meningkatkan kecukupan persaraan bagi warga emas ini.
Tokokan CPF tersebut akan dimasukkan ke Akaun Persaraan atau Akaun Khas pencarum pada Disember 2026.
“Matlamat kami jelas: Rakyat Singapura yang bekerja dan mencarum kepada CPF secara konsisten seharusnya dapat memenuhi keperluan asas persaraan mereka dengan penuh yakin,” ujar Encik Wong.
Jelang 2027, pemerintah juga akan menaikkan kadar sumbangan CPF pekerja yang berusia melebihi 55 tahun hingga 70 tahun.
Ini akan membantu pekerja warga emas menambah simpanan persaraan mereka pada tahun-tahun mereka masih bekerja di usia senja.
Di samping itu, pemerintah akan menyediakan majikan dengan Pengimbangan Peralihan CPF selama setahun untuk membantu menangani kos perniagaan yang meningkat akibat perubahan tersebut.
Pengimbangan tersebut bersamaan dengan separuh daripada kenaikan kadar caruman CPF majikan pada 2027 bagi setiap pekerja yang merupakan warga dan Penduduk Tetap Singapura yang mereka ambil bekerja dan berumur antara 55 dengan 65 tahun.

