
SURCAJ bagi perjalanan teksi bermula dari Lapangan Terbang Changi akan dinaikkan sebanyak $3 mulai Khamis depan hingga 30 Jun, sebagai langkah menambah bekalan teksi untuk penumpang di sana.
Buat masa ini, perjalanan yang bermula dari Changi dikenakan bayaran tambahan $5 pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad dari 5 petang hingga sebelum tengah malam, dan tambahan $3 pada masa-masa lain.
Bayaran tersebut akan dinaikkan kepada $8 dan $6.
Langkah itu, yang diumumkan oleh Changi Airport Group (CAG) dalam catatan Facebook semalam, dibuat di tengah-tengah keengganan pemandu teksi untuk ke lapangan terbang bagi mengambil penumpang, walaupun terdapat peningkatan dalam perjalanan udara antarabangsa.
Pada Mac, sekitar 1.14 juta pelawat melalui Changi, kali pertama jumlah penumpang di sana mencecah paras sejuta sejak pandemik Covid-19 bermula lebih dua tahun lalu.
Bilangan penumpang yang lebih tinggi, ditambah dengan bekalan teksi yang lebih rendah, telah menyebabkan orang ramai beratur panjang menunggu teksi di lapangan terbang.
Dalam laporan akhbar The Straits Times (ST) awal bulan ini, pemandu teksi berkata bahawa lebih banyak pendapatan boleh dibuat di Kawasan Pusat Bandar (CBD) dan pada waktu malam.
Ditambah dengan kos bahan api yang meningkat, pemandu teksi ini memberitahu ST bahawa mereka tidak mendapati sebab untuk memandu ke lapangan terbang, di mana mereka mungkin akan berdepan dengan masa menunggu yang lama.
CAG telah melancarkan program insentif bulan lalu untuk memastikan teksi kembali ke lapangan terbang, dengan menawarkan ganjaran sebanyak $10 untuk setiap hari mereka membuat sekurang-kurangnya tiga perjalanan ke lapangan terbang dari 6 pagi hingga 10 pagi, 12 tengah hari hingga 1 petang dan 4 petang hingga 7 malam.
Ia juga memberikan kopi percuma kepada pemandu pada waktu pagi, namun begitu, langkah itu tidak mencukupi.
Bilangan penumpang di Lapangan Terbang Changi meningkat lebih dua kali ganda bulan lalu dari Mac, menghampiri 40 peratus tahap pra-pandemik.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg