DALAM usaha untuk mengukuhkan sektor penerbangan dan mengekalkan para juruterbang tempatan, Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) dan Kolej Penerbangan Singapura (SFC) telah melancarkan program Sarjana untuk juruterbang Syarikat Penerbangan Singapura (SIA) pada Selasa.
Program Sarjana Pengurusan itu akan meliputi modul yang berkaitan dengan kepimpinan yang berkesan, tadbir urus korporat dan tanggungjawab sosial korporat.
Kursus itu akan disediakan kepada semua pekerja kumpulan SIA pada masa depan.
Sementara itu, satu kursus minor dalam Pengurusan Penerbangan juga telah dilancarkan pada Selasa untuk mahasiswa di SUSS.
Berucap di pelancaran program itu, Kapten Quay Chew Eng, Pengerusi SFC, berkata:
"Dengan pelancaran dua program ini, kami telah mengambil satu lagi langkah bagi menyokong dan menggalak pembelajaran sepanjang hayat dalam sektor penerbangan.
"Ini akan membantu kita untuk menarik dan mengekalkan para juruterbang dan pemimpin generasi akan datang serta mengukuhkan kedudukan Singapura sebagai hab global dan menyokong pertumbuhan masa depan."
Para peserta akan berpeluang belajar melalui kajian kes penerbangan dan mempelajari daripada para penceramah dalam industri.
Kursus itu boleh dihabiskan dalam setahun 18 bulan, ataupun sehingga empat tahun.
Beberapa modul juga boleh diambil oleh juruterbang SIA di luar negara.
Menteri Pengangkutan, Encik S Iswaran, telah memberitahu Parlimen pada awal Mac bahawa sektor penerbangan telah membuat pemulihan yang kukuh daripada kesan pandemik.
Beliau menyatakan bahawa tenaga kerja penerbangan yang kini berada pada tahap 90 peratus sebelum pandemik dijangka pulih sepenuhnya menjelang 2023.
Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa telah meramalkan bahawa menjelang 2026, dunia akan memerlukan 25,000 pesawat baru.
Ini bertambah daripada 17,000 yang sedia ada di seluruh dunia. Sekitar 480,000 teknisyen serta 350,000 juruterbang juga diperlukan untuk mengendalikan pesawat-pesawat itu.
Daripada jumlah ini, 243,000 teknisyen dan 185,000 juruterbang dijangka datang dari Asia Pasifik.
Bagi merancakkan lagi industri penerbangan, kursus Pengurusan Penerbangan juga dilancarkan secara rasmi pada Selasa dan akan ditawarkan kepada mahasiswa dalam sebarang program SUSS sebagai pilihan minor.
Ia merupakan satu-satunya program yang menawarkan teori dan amalan pesawat tanpa pemandu (UA).
Mereka yang melengkapkan modul mengenai operasi UA boleh memohon mendapatkan lesen Juruterbang Pesawat Tanpa Pemandu.
Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing, yang merupakan tetamu terhormat di pelancaran itu telah mencuba demonstrasi realiti maya (VR) yang menerbangkan UA atau dron.
Permohonan bagi program minor itu dibuka kepada 50 mahasiswa bagi semester Julai.
Berucap di majlis pelancaran itu, Profesor Tan Tai Yong, Presiden SUSS, berkata: "Program-program ini akan melengkapkan Singapura dengan kumpulan profesional yang mahir dengan pengetahuan yang mendalam dan kemahiran yang diiktiraf yang dicari oleh majikan penerbangan."
Profesor Tan menambah: "Perkongsian kami dengan SFC adalah contoh yang sangat baik bahawa akademik dan industri boleh bekerjasama membangunkan program dengan hasil yang baik."
Pelancaran itu diadakan di SUSS dan dihadiri lebih 60 pemimpin akademik, korporat, masyarakat dan pemerintah.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg