Topik diikuti
Pergi ke BHkuPegawai kanan SMRT didenda $55,000
Pegawai kanan SMRT didenda $55,000
SEORANG pegawai kanan SMRT Trains telah didenda $55,000 semalam setelah gagal mengambil langkah perlu bagi memastikan keselamatan pekerja.
Ini berhubung kes kemalangan kereta api yang mengakibatkan kematian dua pekerja pelatih SMRT, Allahyarham Nasrulhudin Najumudin dan Muhammad Asyraf Ahmad Buhari, berhampiran stesen MRT Pasir Ris pada 22 Mac tahun lalu.
Teo Wee Kiat, 41 tahun, pengarah operasi kawalan, mengaku bersalah atas tuduhan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Tempat Kerja kerana gagal memastikan pekerja mematuhi prosedur operasi yang diluluskan semasa memasuki kawasan landasan kereta api pada waktu operasi.
Dalam kenyataan semalam, Kementerian Tenaga Manusia (MOM) berkata SMRT telah meluluskan dan mengeluarkan set prosedur operasi yang dirakam (OP) Unit 3C OP untuk mengawal kemasukan ke dalam kawasan landasan semasa waktu operasi.
Kegiatan itu berbahaya dan berisiko tinggi kerana memerlukan pekerja berada di landasan kereta api pada waktu operasi, kata MOM.
Namun, siasatan mendapati pekerja SMRT tidak mematuhi Unit 3C OP sejak awal 2002.
Malah, kekerapan pekerja yang menggunakan akses laluan tidak disahkan meningkat dari 2007.
Juga didapati bahawa Pusat Kawalan Operasi SMRT (OCC), di bawah tanggungjawab Teo, telah menguruskan dan memberi kelulusan akhir kepada semua permintaan memasuki landasan. Ini membolehkan pekerja SMRT menyimpang daripada Unit 3C OP.
MOM juga berkata Teo sedar bahawa pekerja SMRT tidak mematuhi Unit 3C OP ketika memasuki landasan kereta api semasa waktu operasi.
Dia juga tidak memaklumkan isu keselamatan tersebut kepada pihak pengurusan SMRT agar mereka dapat memutuskan sama ada audit atau semakan perlu dijalankan.
Pengarah Keselamatan dan Kesihatan Inspektorat MOM, Encik Chan Yew Kwong, berkata:
"Sebagai pengarah Operasi Kawalan, Teo Wee Kiat mempunyai tanggungjawab utama memastikan pekerja SMRT mematuhi prosedur operasi yang dimandatkan.
"Sungguhpun mengetahui bahawa prosedur operasi memasuki landasan tidak dipatuhi, dia tidak mengambil sebarang tindakan bagi memastikan pematuhan atau mengkaji prosedur operasi. Dia gagal dalam tugasnya dan harus bertanggungjawab atas kecuaiannya."
SMRT Trains dikenakan denda sebanyak $400,000 pada 28 Februari lalu atas kesalahan sama seperti Teo.
Satu lagi kes terhadap Lim Say Heng, pegawai bertanggungjawab ke atas pekerja, kerana menyebabkan kematian akibat kecuaian masih belum selesai. Kes Lim akan didengar pada 16 Januari depan.
Dalam kejadian tersebut, dua pelatih meninggal dunia apabila kereta api melanggar mereka sejurus mereka melangkah ke landasan kereta api.
Allahyarham Nasrulhudin, 26 tahun, dan Allahyarham Asyraf, 24 tahun, sebahagian pasukan 15 anggota yang dihantar memeriksa masalah pada peralatan suis pertukaran apabila mereka dilanggar kereta api berhampiran stesen MRT Pasir Ris.
Teo, yang diwakili peguam Adam Maniam, telah diberi waktu sehingga 6 Oktober untuk membayar denda.
Dia boleh dikenakan denda maksimum $200,000 dan penjara dua tahun.