SEJAK lima bulan lalu, sekolah di serata Singapura telah mempertingkat usaha untuk mempertingkat kesejahteraan pelajar.

Ini menyusuli berita kematian seorang pelajar Sekolah Tinggi River Valley yang mengetengahkan isu kesihatan mental belia kepada awam.

Kelas pendidikan kesihatan mental - yang menggalak pelajar mendapatkan bantuan apabila diperlukan dan membangun daya kebingkasan - telah diperkenalkan kepada semua pelajar sekolah menengah peringkat rendah di bawah sukatan pendidikan perwatakan dan kewarganegaraan yang baru.

Kelas ini secara beransur-ansur memperkenalkan kepada semua pelajar peringkat rendah, menengah dan prauniversiti dalam masa dua tahun mendatang, kata Menteri Pendidikan Chan Chun Sing pada Sabtu (11 Disember).

Kesejahteraan minda pelajar telah menjadi "keutamaan" buat Kementerian Pendidikan (MOE), jelas Encik Chan, sebagai memberi maklumat terkini menyusuli kenyataan kementeriannya pada Julai mengenai kejadian di Sekolah Tinggi River Valley itu.

Sejak September, semua sekolah telah meluangkan masa dan ruang di awal setiap penggal bagi guru memeriksa kesejahteraan pelajar mereka, kata Encik Chan, yang berbual di pelancaran buku elektronik "Project: It'll Be Alright".

"Guru telah diberi sumber pedagogi praktikal bagi mengawasi dan menyokong kesejahteraan pelajar.

"Kegiatan pembelajaran juga direka bagi membantu guru memulakan perbualan bersama pelajar mereka untuk berkongsi dan membincangkan isu kesejahteraan dan memperkukuh komitmen kelas dalam menjaga satu sama lain," tambah Encik Chan.

Beliau akur dengan cabaran dan tekanan yang dihadapi belia termasuk bagaimana penggunaan teknologi dan media sosial mungkin telah menambah keresahan dan mengganggu gugat imej diri pelajar berkenaan.

Beliau memberi contoh pembulian siber yang mungkin sukar dikesan ibu bapa dan rasa takut terlepas daripada melakukan perkara yang belia lain buat, sesuatu yang ramai pelajar mungkin rasakan sehingga menyebabkan tahap keresahan mereka meningkat.

"Sebagai tambahan, tekanan yang bertambah diburukkan oleh situasi Covid-19 yang berpanjangan telah membawa keprihatinan tentang kesejahteraan minda belia ke hadapan.

"Sesetengah ibu bapa berdepan dengan ketidaktentuan kewangan dan pekerjaan. Tekanan di rumah menjejas kesejahteraan keluarga dan kanak-kanak mereka," jelasnya.

Usaha lain bagi menjaga kesejahteraan pelajar termasuk struktur sokongan teman sebaya yang telah diperkenalkan kepada semua sekolah.

Encik Chan juga menjelaskan bahawa belia akan merujuk pada teman sebaya bagi bantuan dengan sistem sokongan teman sebaya ini akan memperkasa pelajar untuk membawa impak terhadap masyarakat di sekolah mereka.

Bagi menunjukkan bagaimana sistem ini berjalan, beliau memberi contoh pelajar menengah tiga Chiam Zhi Quan yang tampil secara sukarela menjadi pemimpin sokongan teman sebaya di kelasnya.

Pelajar Sekolah Menengah Kranji ini mendekati rakan sedarjahnya yang melalui cabaran dan menyertai inisiatif sekolah untuk mendidik orang lain tentang impak kata-kata yang melukakan dan bagaimana untuk kurang menilai orang lain.

"Inisiatif dari bawah yang dipimpin rakan sebaya sangat berkuasa. Kita harus terus menggalak belia kita agar mewujudkan bersama ekosistem sokongan ini," kata Encik Chan.

Beliau berkongsi kumpulan sokongan ibu bapa akur pada gesaannya membantu ibu bapa dengan anak-anak dan keluarga yang memerlukan lebih banyak sokongan. Kini terdapat 25 kumpulan sebegitu yang memimpin inisiatif ini.

"Sesetengahnya berkongsi sumber dan mengarahkan ibu bapa kepada talian bantuan masyarakat. Golongan lain pula menganjurkan sesi untuk berkongsi panduan keibubapaan dan nasihat mengenal pasti tanda-tanda tekanan dan cara mendapatkan bantuan," jelasnya.