Topik diikuti
Pergi ke BHkuSyafiq, Yusnor Ef beri inspirasi dengan kisah keazaman, dedikasi
Syafiq, Yusnor Ef beri inspirasi dengan kisah keazaman, dedikasi
PENERIMA Anugerah Jauhari Harapan dan Jauhari Sepanjang Hayat mungkin berada pada tahap yang berbeza dalam kehidupan mereka, tetapi satu persamaan adalah jelas - keupayaan mereka untuk memberi inspirasi melalui kisah ketabahan, keazaman dan semangat mereka, kata tetamu di majlis Anugerah Jauhari Berita Harian 2022 pada malam Khamis.
Majlis tahunan yang telah diadakan di Hotel Four Seasons itu menyaksikan penganugerahan Encik Lee Syafiq Muhd Ridzuan Lee sebagai Jauhari Harapan 2022, dan Encik Mohamed Noor Mohamed Yusofe, juga dikenali sebagai Yusnor Ef, sebagai Jauhari Sepanjang Hayat 2022.
Encik Syafiq, 30 tahun, pengasas francais burger, Ashes Burnnit, telah mengembangkan jenamanya dan tidak lama lagi akan menyelami projek antarabangsa baru dan meluaskan perniagaannya di New York City.
Cita-cita dan kegigihan Encik Syafiq telah mewajarkan anugerahnya, kata Anggota Parlimen GRC Jalan Besar, Dr Wan Rizal Wan Zakariah.
"Syafiq telah memecahkan stigma yang dikaitkan dengan pelajar Institut Pendidikan Teknikal (ITE). Saya berasa bangga melihat beliau kini berada di peringkat yang lebih besar, bermula dari pusat penjaja sederhana dan kini mengembangkan perniagaannya ke luar negara. Saya berharap anak-anak muda dapat belajar daripada kerja keras dan dedikasi beliau," ujar Dr Wan Rizal.
Encik Khairudin Saharom, ketua dan pengarah Kite Studio Architecture, berkata Syafiq telah membuktikan bahawa latar belakang pendidikannya bukanlah faktor kejayaan.
"Syafiq merupakan inspirasi bagi masyarakat kita, terutama sekali mereka yang ingin mempunyai impian yang besar dan meluas. Syafiq telah membuktikan apa yang kita impikan boleh menjadi kenyataan sekiranya kita memastikan yang kita bekerja keras," tambah Encik Khairudin.
Penerima Anugerah Jauhari Sepanjang Hayat, Encik Yusnor Ef, 85 tahun, telah menyumbang dalam bidang seni dengan penulisan lirik bagi lagu-lagu yang sudah menjangkau lebih lima dekad.
Biduanita Cik Rahimah Rahim, bekas anak murid Encik Yusnor, tidak terkejut apabila cikgu Bahasa Melayunya diberikan Anugerah Jauhari Sepanjang Hayat.
"Beliau adalah seorang yang komited dalam bidangnya dan dihormati dalam industri seni. Ini merupakan satu contoh untuk anak-anak muda yang berminat untuk menulis lirik," kata Cik Rahimah.