Topik diikuti
Pergi ke BHkuSyarat bagi warga asing beli rumah di Indonesia
Syarat bagi warga asing beli rumah di Indonesia
Syarat bagi warga asing beli rumah di Indonesia
Warga asing boleh membeli hartanah, apartmen atau rumah berhalaman di Indonesia, kata Pengerusi Persatuan Perusahaan Hartanah Indonesia (REI), Encik Joko Suranto, kepada Berita Minggu (BM) – hartanah dengan status hak milik, hak guna tanah berserta perjanjian pajakan selama 80 tahun keseluruhannya.
Perjanjian pajakan untuk tempoh 80 tahun itu dibahagikan kepada tiga peringkat – 30 tahun pada peringkat awal, diikuti dengan lanjutan selama 20 tahun dan 30 tahun lagi untuk pajakan berikutnya untuk penggunaan tanah.
Encik Joko menjelaskan demikian sebagai menjawab kekeliruan terhadap pelbagai laporan yang bercanggah berkaitan hak milik bagi warga asing untuk membeli hartanah di Batam, Indonesia.
Beberapa ejen hartanah di Batam yang ditemui BM mendakwa warga asing boleh memiliki hartanah di Batam.
Ini seperti yang diutarakan oleh ejen hartanah dari Batam, Encik Sudirman Samat, yang mendakwa warga Singapura atau warga asing lain boleh mendapat hak milik jika membeli rumah dengan harga melebihi 2 miliar rupiah atau sekitar $200,000.
Namun, Ketua Dinas (Perkhidmatan) Komunikasi dan Informasi (Diskominfo) Kota Batam, Encik Rudi Panjaitan, ketika ditemui BM menyangkal dakwaan itu.
Menyedari kekeliruan terhadap hak milik hartanah itu, kebanyakan warga Singapura yang ditemui BM di Batam menyatakan mereka menggunakan nama pasangan masing-masing atau saudara di Indonesia untuk membeli rumah di Batam bagi mengelak sebarang kerumitan di hari muka disebabkan kompleksnya undang-undang yang wujud.
Menurut Encik Joko lagi, warga asing yang ingin membeli hartanah di Indonesia mesti mempunyai visa atau permit pemastautin (KITAS/KITAP) dan semua dokumen imigresen yang diperlukan.
Namun terdapat had harga minimum rumah berhalaman atau apartmen yang boleh dibeli oleh warga asing dan ia berbeza di setiap wilayah.
Sebagai contoh untuk hartanah di Jakarta, ia menetapkan harga 10 bilion rupiah ($832,973) dan berbeza di kawasan lain pada harga minimum 5 bilion rupiah di Bali, Banten, Jawa Barat, Yogyakarta dan Jawa Timur.
Encik Joko juga berkata warga asing boleh membeli apartmen dengan Hak Guna Bangunan (HGB) bagi tempoh pajakan selama 80 tahun secara keseluruhan yang dibahagikan kepada tiga peringkat – 30 tahun untuk penggunaan awal, lanjutan selama 20 tahun dan pembaharuan seterusnya selama lagi 30 tahun.
Selepas pengeluaran Sijil Kelayakan Fungsian (SLF), pemerintah mempunyai kuasa untuk mengeluarkan hak milik apartmen untuk tempoh pendahuluan selama 50 tahun.
Ini bermakna apabila hartanah itu telah disahkan layak berfungsi seiring SLF, pemerintah boleh memberikan hak pajakan selama 50 tahun tanpa perlu melalui tempoh 30 tahun penggunaan awal dan lanjutan 20 tahun secara berasingan.
Tempoh pajakan keseluruhan masih kekal selama 80 tahun.
Menurut Encik Joko lagi, warga asing juga boleh memiliki rumah berhalaman di sebidang tanah seluas 2,000 meter persegi bagi setiap orang atau setiap keluarga, namun tiada batasan untuk memiliki apartmen.
“Waris warga asing boleh mewarisi harta tersebut selagi waris mereka mempunyai dokumen imigresen yang diperlukan mengikut peraturan yang terpakai.
“Ini adalah peraturan yang sangat progresif di Indonesia. Kami berada dalam era tanpa sempadan dan kami mesti terbuka.
“Ini adalah sebahagian daripada usaha Indonesia untuk mengembangkan pasaran hartanah kami, meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan menjadi sebahagian daripada komuniti global,” kata Encik Joko.
