Lebih 323,000 syarikat, termasuk lebih 37,000 syarikat yang baharu ditubuhkan, bakal meraih manfaat daripada rangkaian sumber bantu diri digital yang diperluas dan dipertingkat apabila memfailkan penyata Cukai Pendapatan Korporat (CIT) mereka bagi tahun penilaian 2026.

Sumber tersebut, yang diperkenalkan Penguasa Hasil Mahsul Singapura (Iras) pada 2026, bertujuan memudahkan syarikat memfailkan penyata cukai mereka dengan teliti dan tepat pada waktunya, dengan kepastian lebih tinggi serta kurang tindakan susulan.

Antara usaha baharu yang diperkenal ialah pemeriksa syarat pemfailan bagi syarikat yang baharu ditubuhkan melalui bot sembang Iras.

Pemeriksa itu dapat memberitahu syarikat tersebut sama ada dan bila mereka perlu memfailkan penyata CIT, sekali gus mengurangkan risiko ketidakpatuhan secara tidak sengaja serta memberikan kepastian kepada perniagaan baharu dalam sistem percukaian.

Selain itu, terdapat juga Siri Webinar Pembelajaran Dalam Talian.

Siri itu membolehkan syarikat memahami dengan lebih baik tentang syarat dan keperluan pemfailan CIT mereka menerusi panduan langkah demi langkah mengikut kesesuaian diri, sekali gus membantu mereka membuat persiapan untuk memfailkan penyata dengan yakin.

Selepas pemfailan, syarikat juga boleh menyemak anggaran tempoh masa pemprosesan, status pembayaran mereka, serta sebarang langkah susulan yang diperlukan melalui pemeriksa status pembayaran baharu melalui portal Iras.

Dalam satu kenyataan pada 19 Oktober, Iras menyatakan lebih 90 peratus syarikat telah memfailkan penyata CIT mereka tepat pada masanya pada tahun penilaian 2025.

Hal tersebut mencerminkan budaya pematuhan yang tinggi dalam kalangan perniagaan di Singapura.

Pemfailan yang tepat pada masanya dapat memastikan setiap pihak membayar kadar cukai yang adil sekali gus menyediakan dana penting bagi perkhidmatan awam dan prasarana Singapura.

Menurut Iras, walaupun sebahagian besar pembayar cukai syarikat mematuhi peraturan, badan itu tetap mengambil tindakan tegas terhadap segelintir syarikat yang tidak mematuhinya.

Sejak Januari, Iras telah mengeluarkan lebih 4,100 notis untuk hadir ke mahkamah kepada syarikat yang gagal memfailkan penyata CIT mereka bagi tahun penilaian 2025 dan beberapa tahun sebelumnya, dengan jumlah penalti yang dikutip mencecah lebih $2 juta.

Syarikat yang tidak memfailkan penyata CIT mereka menjelang tarikh akhir boleh didenda sehingga $5,000.

Ketidakpatuhan yang berterusan juga boleh dikenakan penalti harian tambahan sebanyak $100.

Syarikat yang berulang kali gagal memfailkan penyata cukai mereka selama dua tahun atau lebih, bakal berdepan tindakan penguatkuasaan yang semakin keras.

Mereka juga boleh diperintahkan oleh mahkamah untuk membayar penalti dua kali ganda daripada jumlah cukai yang ditaksir, di samping denda yang dikenakan.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti