Topik diikuti
Pergi ke BHkuSyarikat lebih 200 pekerja perlu ada karyawan HR bertauliah mulai Jul 2028
Syarikat lebih 200 pekerja perlu ada karyawan HR bertauliah mulai Jul 2028
Mulai 1 Julai 2028, syarikat yang menggajikan lebih 200 pekerja perlu mempunyai sekurang-kurangnya seorang karyawan sumber manusia (HR) yang memiliki pensijilan peringkat Karyawan Bertauliah Institut Karyawan HR (IHRP-CP) atau lebih tinggi.
Keperluan itu adalah sebahagian daripada usaha untuk membolehkan syarikat mewujudkan tempat kerja yang progresif dan pekerjaan yang baik.
Ini di samping membantu firma bersedia bagi pelaksanaan Akta Keadilan di Tempat Kerja yang akan berkuatkuasa menjelang hujung 2027, dan perubahan pada Akta Pekerjaan.
Bagi membantu syarikat mematuhi syarat itu lebih awal, pemerintah akan menyediakan subsidi yuran tambahan sebanyak $100 dari 1 Oktober 2026 hingga 30 Jun 2028.
Ini akan mengurangkan kos bagi latihan pensijilan IHRP-CP kepada $163.50, dan kepada $272.50 bagi latihan pensijilan Karyawan Kanan IHRP (IHRP-SP), yang sah bagi tiga tahun.
Di samping itu, majikan juga dibenarkan menggunakan Kredit Perusahaan SkillsFuture mereka untuk menampung baki kos perbelanjaan sendiri untuk karyawan HR mereka.
Syarikat dikira memenuhi keperluan baru itu sekiranya karyawan HR mereka mempunyai pensijilan setara daripada badan profesional HR antarabangsa lain yang diiktiraf IHRP dan memenuhi syarat laluan peralihan yang ditetapkan.
Jurucakap Kementerian Tenaga Manusia (MOM) berkata terdapat sekitar 2,000 syarikat yang menggajikan lebih 200 pekerja di sini, yang membentuk lebih 45 peratus daripada keseluruhan tenaga kerja Singapura.
Lebih 900 daripada 2,000 syarikat itu sudah pun mempunyai sekurang-kurangnya seorang karyawan HR yang diperakui oleh IHRP.
Langkah keperluan baru itu adalah sebahagian daripada lima saranan yang dikemukakan dalam laporan Kumpulan Kerja Tiga Pihak mengenai Pembangunan Keupayaan Modal Insan (TWG-HC). Saranan tersebut diterima sepenuhnya oleh pemerintah.
Laporan itu dilancarkan Menteri Negara (Tenaga Manusia merangkap Perdagangan dan Perusahaan), Encik Foo Cexiang, semasa forum ‘People Behind People’ anjuran IHRP yang diadakan di Ekspo dan Pusat Konvensyen Marina Bay Sands pada 24 September.
Berucap di forum itu, Encik Foo berkata setiap pekerja, pada suatu ketika dalam kerjaya mereka, akan terkesan oleh keputusan penting HR – daripada pengambilan pekerja, kenaikan pangkat, sehinggalah penempatan semula.
Pekerja dan majikan sama-sama perlu yakin bahawa keputusan tersebut dibuat secara profesional, adil, dan dengan pertimbangan yang wajar.
Atas sebab itu, pemerintah bersetuju dengan saranan kumpulan kerja tiga pihak itu untuk mewujudkan asas penanda aras yang dipercayai bagi amalan HR.
“Pensijilan memberi majikan keyakinan bahawa pasukan HR mereka mampu menasihati pemimpin dengan baik.
“Ia juga memberi pekerja jaminan yang lebih besar bahawa keputusan yang menjejas kerjaya mereka dipandu oleh piawaian profesional dan etika yang diiktiraf.
“Sedang teknologi menjadikan keputusan tenaga kerja semakin kompleks, asas kepercayaan ini menjadi semakin penting, bukannya berkurangan,” kata Encik Foo.
Dibentuk pada Februari 2025, TWG-HC – dipengerusikan bersama oleh Kementerian Tenaga Manusia (MOM), Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dan Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura (Snef) – bertujuan menangani trend, termasuk kemajuan pesat teknologi dan peningkatan jangka hayat, yang sedang mengubah landskap pekerjaan dan tempat kerja.
Dengan kerjasama IHRP, mereka berharap dapat menggandakan jumlah karyawan HR yang bertauliah daripada sekitar 9,000 kepada 18,000, atau 40 peratus, daripada keseluruhan tenaga kerja HR menjelang 2030.
Ini di samping sasaran jangka panjang agar sekurang-kurangnya separuh daripada tenaga kerja HR Singapura mendapat pensijilan menjelang 2035.
Selain memprofesionalkan amalan HR, saranan lain yang dikemukakan dalam laporan itu termasuk terbitan Indeks Peluang Singapura (SOI) yang mengetengahkan 300 syarikat terbaik kerana menyediakan peluang luas untuk perkembangan kerjaya kepada pekerja mereka.
Ini selain membantu perusahaan membina keupayaan perancangan kakitangan dan membolehkan lebih banyak syarikat kecil dan sederhana (SME) mendapat akses kepada kepakaran HR strategik, memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) secara berkesan dan bertanggungjawab dalam HR, dan membangunkan pemimpin untuk masa depan.
Di bawah saranan membangunkan pemimpin untuk masa depan, satu program pembangunan kepimpinan modal insan yang ditujukan kepada pemimpin kanan HR dan kepimpinan syarikat akan diperkenalkan.
Program tersebut akan dimulakan dari 2027 dan dijalankan dalam kohort sembilan bulan dengan matlamat melatih lebih 100 pemimpin menjelang 2030.
Di bawah program itu, peserta akan dilengkapi dengan keupayaan, sumber dan rangkaian sokongan untuk membangunkan perusahaan generasi seterusnya.
Penolong Setiausaha Agung NTUC dan pengerusi bersama TWG-HC, Encik Patrick Tay, berkata karyawan HR merupakan ‘pengelola modal insan’ dan mesti bertindak sebagai rakan kongsi strategik untuk pekerja sedang perniagaan berubah dan memanfaatkan AI.
“Keupayaan modal insan yang lebih kukuh dapat membantu syarikat membuat keputusan tenaga kerja yang lebih baik, melabur dalam pekerja mereka, dan akhirnya mewujudkan pekerjaan serta prospek kerja yang lebih baik untuk teras rakyat Singapura, termasuk karyawan, pengurusan dan eksekutif (PME),” kata beliau.
Anggota majlis Snef dan pengerusi bersama TWG-HC, Encik Benjamin Boh, pula berkata saranan dalam laporan tersebut menyediakan sokongan praktikal untuk syarikat memperkukuh keupayaan HR mereka melalui pensijilan, akses yang lebih baik kepada kepakaran HR, dan penggunaan AI berteraskan insan.
“Ini amat bernilai untuk majikan sedang mereka membina daya tahan tenaga kerja dan bersedia untuk pertumbuhan jangka panjang,” kata beliau.
5 SARANAN DALAM LAPORAN KUMPULAN KERJA TIGA PIHAK MENGENAI PEMBANGUNAN KEUPAYAAN MODAL INSAN
- Terbit Indeks Peluang Singapura (SOI) sebagai penanda aras nasional
- Indeks baharu ketengah 300 syarikat terbaik yang sedia peluang luas untuk perkembangan kerjaya kepada pekerja mereka
- Perkasa pekerja pilih majikan yang tawar laluan sejajar dengan aspirasi kerjaya mereka
2. Bantu syarikat bina keupayaan kakitangan dalam strategi pertumbuhan
- Panduan praktikal dan contoh pelaksanaan sebenar disediakan bantu syarikat pertimbang implikasi terhadap pekerjaan, kemahiran dan tenaga kerja pada peringkat awal keputusan pertumbuhan dan transformasi
- Bantu SME akses kepakaran HR profesional
3. Bantu syarikat manfaatkan AI untuk ubah pekerjaan
- ‘AI Starter Kit’ ketengah huraian AI yang sesuai, dengan bimbingan pelaksanaan praktikal, khidmat rundingan, latihan dan sokongan pembiayaan
- Lebih banyak program latihan bertauliah sejajar dengan 12 Lencana Kemahiran Kefasihan AI IHRP (IHRP AI Fluency Skills Badges) baharu
4. Tingkat profesionalisme amalan HR
- Keperluan baru bagi syarikat dengan lebih 200 pekerja mempunyai sekurang-kurangnya seorang karyawan HR yang miliki sijil peringkat Karyawan Bertauliah IHRP (IHRP-CP) atau lebih tinggi mulai 1 Julai 2028
5. Bangunkan pemimpin untuk masa depan
- Program pembangunan kepimpinan modal insan utama bagi pemimpin kanan HR dan kepimpinan syarikat. Bermula dari 2027, program akan dijalankan dalam kohort sembilan bulan dengan matlamat latih lebih 100 pemimpin jelang 2030