Sebuah syarikat yang terlibat dalam pemasangan sistem perlindungan kebakaran, bersama pengarah tunggal syarikat tersebut, didapati bersalah atas kecuaian keselamatan yang menyebabkan letupan sehingga mengorbankan tiga pekerja pada 2021.

Tiga pekerja berkenaan ialah warga Bangladesh, Encik Shohel Md, 23 tahun; dan Encik Anisuzzaman Md, 29 tahun; serta warga India, Encik Subbaiyan Marimuthu, 38 tahun.

Mereka terkorban apabila sebuah mesin pembancuh di tapak kerja Stars Engrg di Tuas Avenue 11 meletup pada 24 Februari 2021, mengakibatkan kelecuran teruk meliputi 90 peratus bahagian badan.

Tujuh lagi pekerja – lima daripada Stars dan dua daripada syarikat berhampiran – turut mengalami kecederaan.

Susulan perbicaraan selama 21 hari, Stars dan seorang lelaki warga Singapura, Chua Xing Da, 42 tahun, masing-masing didapati bersalah pada 26 Mei atas dua tuduhan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja (WSHA) berhubung kecuaian keselamatan.

Chua merupakan pengarah tunggal Stars dan menyelia operasi di tapak kerja berkenaan.

Syarikat tersebut dan pengarahnya didapati gagal memastikan mesin pembancuh tersebut selamat untuk digunakan, selain gagal memastikan pekerja mereka menerima latihan dan penyeliaan mencukupi untuk mengendalikan peralatan tersebut. 

Ketika menyampaikan keputusannya, Hakim Daerah Tan Jen Tse berkata lebih banyak usaha sepatutnya dilakukan bagi memastikan mesin itu digunakan dengan selamat.

Beliau turut menambah, Chua dan Stars gagal mengambil langkah sewajarnya untuk memastikan mesin itu digunakan dengan betul.

Sementara itu, seorang warga Myanmar, Moe Tun, 36 tahun, yang merupakan jurutera projek di Stars, dibebaskan daripada tuduhan di bawah WSHA.

Dia sebelum ini dituduh bertindak cuai sehingga membahayakan keselamatan pekerja dengan membenarkan mereka membaiki pemanas mesin pembancuh tersebut.

Hakim berkata bukti tidak mencukupi untuk menunjukkan Lwin Moe Tun membenarkan kerja-kerja pembaikan tersebut dilakukan.

Namun, dia disabitkan atas dua tuduhan mengganggu proses keadilan kerana memadam mesej antara dirinya dengan Encik Subbaiyan selepas kejadian letupan itu.

Dokumen mahkamah menyatakan Lwin Moe Tun memadam mesej tersebut daripada telefon bimbit miliknya dan juga milik Encik Subbaiyan.

Manakala, Chua didapati bersalah kerana menghasut Lwin Moe Tun untuk memadam mesej berkenaan.

Pihak pendakwa berhujah bahawa Chua mengetahui mesin pembancuh tersebut tidak selamat untuk digunakan, terutama selepas beberapa insiden yang menunjukkan tanda amaran.

Ini termasuk percikan api dan asap yang ditemui di sekitar pemanas mesin tersebut pada Ogos 2020.

Selain itu jaket minyaknya (oil jacket) dikesan bocor pada akhir 2020 dan pada Februari 2021, satu kebakaran kecil berlaku berhampiran injap salir di bahagian bawah jaket minyak berkenaan.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP), Encik Timotheus Koh, Cik Grace Chua, dan Encik Mohamed Riasudeen  memberitahu mahkamah: 

“Daripada menyiasat dan menangani punca utama insiden amaran awal tersebut, Chua sebaliknya memilih untuk mengambil pendekatan... yang kurang tepat, mengakibatkan pengendalian mesin pembancuh secara tidak selamat.”

Semasa perbicaraan, Chua mendakwa dia tidak menganggap insiden seperti kebakaran dan kebocoran berkenaan sebagai satu amaran awal.

Sesi pengurangan hukuman dan keputusan hukuman bagi kesemua pesalah akan dijalankan pada 25 Jun.